Wednesday, July 22, 2015

Laporan 1MDB The Edge Financial Daily sama dengan laporan audit?


Laporan The Edge Financial Daily yang bertajuk 'Bagaimana Jho Low dan Petro Saudi menipu Malaysia sebanyak AS$1.83 bilion tunai dan AS$400 juta menerusi keuntungan kertas dengan bantuan daripada eksekutif-eksekutif 1MDB dipercayai diperolehi daripada hasil siasatan awal Jabatan Audit Negara.

Difahamkan laporan akhbar berbahasa Inggeris itu 'sama' dengan Laporan Interim Jabatan Audit Negara yang diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 9 Julai lalu.

Atas alasan itu, dipercayai The Edge Financial Daily meletakkan nota daripada penerbit akhbar berkenaan yang mengatakan laporan berita itu adalah benar dan mungkin merupakan yang terakhir.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang telah menyerahkan dan membentang laporan berhubung akaun-akaun 1MDB kepada PAC manakala laporan penuh dijangka dikeluarkan menjelang akhir tahun ini.

Setakat hari ini, MalaysiaGazette difahamkan laporan interim setebal 72 muka surat dengan lampiran lebih 300 salinan itu hanya diserahkan kepada 13 anggota ahli PAC dan mereka dilarang sama sekali mendedahkan dengan apa cara sekali pun butiran siasatan Ketua Audit Negara sehingga ia dibentangkan di Parlimen nanti.

Difahamkan Kementerian Kewangan juga belum menerima salinan laporan interim berkenaan. Namun laporan awal Jabatan Audit Negara itu dipercayai telah diberi taklimat kepada Menteri Kewangan pada hari yang sama.

Bagi memastikan laporan itu tidak mudah dibocorkan, setiap helaian laporan itu ditanda dengan 'watermark' nombor keahlian anggota PAC.

Sebelum ini, MalaysiaGazette juga difahamkan akhbar The Star juga menyiarkan artikel 'sama' diambil daripada laporan interim.

Artikel bertarikh 11 Julai terbitan akhbar The Star itu memetik seorang penyiasat yang mendakwa hampir RM13 bilion aset milik 1MDB sukar dicairkan.

Pada Mac lalu, Ketua Audit Negara telah diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan audit dan siasatan terhadap firma pelaburan milik Kementerian Kewangan yang didakwa dibelanggu hutang sebanyak RM41.8 bilion.

Ketua Audit Negara kemudian diarah menyerahkan laporan berkenaan kepada PAC selaku badan berkecuali yang dianggotai oleh ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang. - MalaysiaGazette


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails