Monday, July 13, 2015

Jutaan dari akaun Ambank Najib disalur ke BN pada PRU13, dakwa CAGM


Jutaan ringgit dalam akaun peribadi Ambank milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disalurkan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dua tahun lalu, dakwa sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, Citizens For Accountable Governance Malaysia (CAGM) menyalahkan tindakan yang disebut sebagai "sistem melancar" rakan komponen BN dan jentera pilihan raya itu, ke atas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi pengkritik Najib sejak skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"CAGM boleh mengesahkan, berdasarkan dokumen mahkamah di tangan kami, berjuta-juta duit dalam akaun Ambank Najib sebenarnya digunakan untuk 'back up' parti komponen BN menjelang PRU13," kata pengerusi CAGM Md Zainal Abidin dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau itu dibuat hari ini bagi menjelaskan mengapa begitu banyak wang didakwa dipam ke dalam akaun Ambank peribadi Najib.

Selain 13 parti komponen BN yang didakwanya diperuntukkan purata antara RM30 juta dan RM50 juta setiap satu, beliau berkata, dana itu juga disalurkan kepada semua parti mesra BN dan NGO yang menerima antara RM1 juta dan RM8 juta setiap satu.

"Sistem 'melancarkan' parti komponen dan jentera pilihan raya ini (dalam beberapa kes, tentera upahan) sebenarnya dilakukan Dr Mahathir dan itulah yang membolehkan BN kekal berkuasa hingga kini.

"Jadi, pada dasarnya, Najib 'menanggung' sistem yang dimulakan Dr Mahathir bagi memastikan keputusan memihak kepada BN.

“Semakin sukar kemenangan dijangka diperolehi dalam pilihan raya, semakin banyak wang yang diperlukan untuk menjamin kemenangan dan PRU13 adalah pilihan raya yang cukup berisiko tinggi bagi BN," katanya.

The Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu melaporkan dana 1MDB secara tidak langsung membiayai sebahagian daripada kempen perdana menteri dalam PRU13, selepas syarikat itu membeli aset kuasa dengan harga terlalu mahal dari Kumpulan Genting.

Genting kemudiannya didakwa menggunakan sebahagian daripada hasil jualan itu untuk membuat sumbangan RM35 juta kepada sebuah yayasan di bawah Najib, yang kemudiannya mempromosi projek amal tersebut semasa kempen pilihan rayanya, menurut WSJ.

Pada 2 Julai, WSJ melaporkan kira-kira AS$700 juta (RM2.67 bilion) disalurkan ke dalam dua akaun AmBank milik Najib di Kuala Lumpur, dengan bahagian terbesar daripada wang itu - AS$681 juta - dipindahkan ke akaun Najib pada Mac 2013, menjelang pilihan raya umum pada Mei tahun sama.

Akhbar harian perniagaan itu kemudiannya menyiarkan dokumen berkaitan aliran wang ke dalam akaun Najib di Internet bagi menyokong laporannya.

Najib menafikan mengambil dana untuk kepentingan peribadi, tetapi sebagai menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, beliau kini di bawah pemerhatian berhubung pengurusan firma milik kerajaan itu dan hutang RM42 bilion yang ditanggungnya dalam masa enam tahun operasinya lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails