Friday, July 10, 2015

Ini Nasihat Bukannya Larangan Kata SKMM Mengenai Parodi Dan Satira 1MDB



Putrajaya menafikan ia akan mengetatkan kawalan ke atas penggunaan parodi dan satira dalam media sosial, berikutan amaran semalam yang keluarkan kepada pengguna terhadap penyebaran berita palsu mengenai syarikat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu laporan oleh The Star, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, nasihat itu "disalah tafsir", sambil menambah ia tidak akan mengambil tindakan ke atas mereka yang menggunakan sindiran dan komedi memandangkan ia adalah fiksyen.

Bahagian 7.3 Kanun Kandungan SKMM, katanya, menyatakan kandungan palsu adalah dilarang kecuali bagi satira dan parodi kerana ia jelas kepada pengguna adalah karya fiksyen.

"Bila pernah ada larangan? Tidak pernah ada larangan. Ia benar-benar disalah tafsir. Ia hanya satu notis nasihat," Pengarah Komunikasi Strategik SKMM Syeikh Raffie Abdul Rahman dipetik sebagai berkata.

Dalam posting Facebook semalam, SKMM berkata ia satu kesalahan bagi berkongsi atau menyebarkan berita yang mengandungi maklumat palsu mengenai 1MDB di bawah Seksyen 211 atau 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhenti menyebarkan gambar diubah suai, tidak disahkan berita atau sebarang spekulasi mengenai penyiasatan ke atas 1MDB melalui sosial media, termasuk melalui aplikasi WhatsApp," kata SKMM di Facebook rasminya.

"Jika didapati bersalah, hukuman denda tidak melebihi RM50,000 dan/atau penjara tidak lebih daripada setahun. #falsenews # 1MDB."

Amaran itu susulan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang disiasat kerana didakwa menerima dana berbilion ringgit milik negara yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Dakwaan itu disiasat pasukan petugas khas terdiri daripada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai lalu melaporkan, sejumlah dana AS$700 juta (RM2.67 bilion) diagihkan daripada agensi kerajaan, beberapa bank dan entiti dikaitkan dengan 1MDB sebelum dipindahkan ke akaun peribadi perdana menteri.

Najib menafikan pengambilan dana itu adalah untuk kegunaan peribadi tetapi enggan mengulas lanjut mengenai pemindahan wang ke dalam akaun beliau. Beliau sebaliknya menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai dalang tuduhan terbaharu itu lapor The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails