Sunday, July 12, 2015

Dana Aman Palestin dirampas, dituduh pengganas


Badan yang giat membantu Palestin, Aman Palestin menafikan tuduhan dibuat Israel yang menyenaraikan badan itu dalam senarai organisasi pengganas.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut berkata, tindakan itu menjadi alasan untuk pasukan rejim tersebut merampas wang dana Al-Aqsa Association untuk program Ramadan hasil sumbangan rakyat Malaysia.

“Aman Palestin sebagai sebuah badan bantuan kemanusiaan antarabangsa menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Objektif penubuhan Aman Palestin adalah untuk mengumpul dana daripada rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang ditindas secara kejam di tanah air mereka sendiri oleh penjajah Zionis Israel.

“Pertubuhan kami tidak pernah sekali-kali terbabit dalam apa juga aktiviti keganasan mahupun menyokong atau memberi dana kepada mana-mana pihak bagi tujuan keganasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Portal berita Palestine News Network melaporkan Israel merampas wang sumbangan Al-Aqsa Association selepas Kementerian Pertahanan Israel menyenaraikan organisasi itu dalam senarai pengganas dua minggu lalu.

Menteri Pertahanannya, Moshe Ya’alon mengarahkan Israeli Occupation Forces (IOF) untuk merampas tanpa amaran sejumlah wang yang banyak milik Al-Aqsa Association dari bank.

Dalam pada itu, pihak Aman Palestin mengutuk tindakan merampas wang dana untuk program ‘Ramadhan Charity Project 2015’ itu yang akan disalurkan kepada rakyat Palestin.

“Aman Palestin menyalurkan dana dikumpulkan semata-mata demi membantu rakyat Palestin menjalani kehidupan dengan membekalkan bantuan makanan, keperluan perubatan, infrastruktur, pertanian serta keperluan asas lain yang telah dinafikan oleh pihak rejim.

“Kami juga mengutuk tindakan pihak rejim Zionis yang merampas wang dana dari akaun bank milik Al-Aqsa Association. Dana ini adalah untuk program Ramadhan Charity Project 2015, di mana hampir 20,000 rakyat Palestin di tanah Palestin '48 tanpa mengira agama akan menerima bantuan dalam bentuk pek makanan, baucer makanan, jamuan berbuka puasa serta sumbangan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru agar negara-negara jiran Palestin dan komuniti antarabangsa turut mengutuk tindakan Israel tersebut.

“Aman Palestin berpendirian bahawa pengisytiharan rejim Zionis terhadap Aman Palestin ini adalah taktik terbaru untuk menekan rakyat Palestin agar terus hidup sengsara, iaitu dengan menyasarkan organisasi bantuan kemanusiaan seterusnya menghalang bantuan daripada disalurkan.

“Kami ingin menyeru negara-negara jiran Palestin serta komuniti antarabangsa agar turut mengutuk tindakan ini dan menggesa pihak rejim menghentikan 'harrasment' mereka kepada organisasi bantuan kemanusiaan.

“Aman Palestin berasa terpanggil untuk menjawab dan menyelar fitnah pihak rejim ini semata-mata demi tanggungjawab kami kepada semua penyumbang, serta untuk menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Tegasnya, meskipun ditekan, Aman Palestin tidak akan sesekali berhenti daripada meneruskan perjuangan suci itu dalam memberikan bantuan, tenaga, masa dan wang ringgit kepada rakyat Palestin untuk mengembalikan hak mereka sebagai sebuah negara yang merdeka lapor Sinar Harian


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails