Thursday, July 16, 2015

CAGM akui siar SD palsu mengenai Pegawai AmBank dan akaun Najib untuk menjadi terkenal..


Tiada pegawai yang disingkirkan daripada Ambank kerana mengetahui berjuta ringgit dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Cerita berdasarkan satu surat akuan bersumpah (SD) itu adalah palsu, kata kumpulan yang menyiarkan dokumen itu, Citizens for Accountable Governance (CAGM).

Kenyataan dibuat beberapa jam selepas CAGM menghantar emel kepada media mengenai SD yang membawa kepada penjelasan berjuta ringgit daripada akaun perdana menteri disalurkan kepada komponen parti Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya umum pada Mei 2013.

SD itu disiarkan hari ini, mengenai pekerja Ambank dipecat kerana mahu melaporkan kepada Bank Negara mengenai pemindahan wang melebihi had yang dibenarkan ke akaun peribadi Najib di bank itu.

The Malaysian Insider menghantar dua email kepada pegawai Ambank, ketua pegawai kewangan Mandy Simpson dan ketua komunikasi korporat Syed Anuar Ali.

Simpson tidak membalas manakala Syed Anuar yang bercakap kepada The Malaysian Insider tetapi enggan mengesahkan kandungan SD.

Namun katanya kenyataan media akan dikeluarkan pihak bank tidak lama lagi.

CAGM pada mulanya menghantar kenyataan media pada 12 Julai, mengatakan mempunyai dokumen mahkamah bagi membuktikan dakwaannya mengenai dana daripada akaun Najib disalurkan ke parti BN untuk pilihan raya.

Namun hari ini, kumpulan itu berkata semuanya "hanya satu eksperimen dalam media sosial di Malaysia".

Blog itu juga menyatakan tiada peguam bernama Md Zainal Abidin yang menandatangani kenyataan media pada Ahad lalu dan mendakwa sebagai ahli CAGM.

"Tidak ada lebih 2,000 ahli CAGM dan kami tidak ada jutaan ringgit dalam akaun untuk diberikan kepada pemberi maklumat. Dan kami tidak ada SD yang melibatkan salah guna kewangan perdana menteri.

"CAGM hanya satu eksperimen dalam media sosial di Malaysia," kata kenyataan blog itu, dan mengakui SD itu hanya rekaan.

Berita portal lain seperti Malaysiakini dan Free Malaysia Today juga melaporkan tentang SD itu.

CAGM berkata, ia "hanya bertambah" kerana disokong pengarang yang enggan menyemak fakta dan mengejar laporan berita sensasi.

"Kami menjadi terkenal kerana pengarang mahu kami beritahu cerita yang boleh dijual," kata kenyataan blog itu.

CAGM muncul sebagai satu badan bukan kerajaan (NGO) pada Mei tahun ini apabila menawarkan RM1 juta kepada mana-mana individu yang sanggup mendedahkan kekayaan tersembunyi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau mentadbir negara.

CAGM juga mengugut untuk menyaman Dr Mahathir kerana kerugian akibat rasuah dan pembaziran semasa zaman pentadbirannya.

Zainal yang bercakap mewakili kumpulan itu dan menghantar email mengenai SD hari ini kini tidak dapat dihubungi.

Panggilan telefonnya juga tidak berjawab lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails