Sunday, July 19, 2015

Azeez bohong, tanah TRX masih belum dijual dakwa A Kadir Jasin


Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dianggap berbohong kepada rakyat dan mengingkari nasihat perdana menteri kerana sehingga kini tiada satu yang tampil mengambil alih tanah yang dibeli daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk A Kadir Jasin.

Menulis di blognya, bekas ketua pengarang New Straits Times itu berkata, pada Mei, Azeez berkata sekeping tanah di Tun Razak Exchange (TRX) itu akan dijual dengan meraih keuntungan dan ramai pembeli menunjukkan minat terhadapnya.

Tetapi tiga bulan kemudian, tiada berita langsung mengenai penjualan tanah itu.

Timbul pula cakap-cakap ia tidak perlu dijual pada kadar segera kerana pada asalnya pembelian itu bertujuan sebagai satu pelaburan jangka panjang.

Tetapi, Kadir mengingatkan yang arahan menjual tanah itu dibuat perdana menteri sendiri dan Azeez yang menjanjikan ia akan mendatangkan keuntungan.

"Setiap hari berlalu tanah itu tidak dijual, Abdul Azeez 'berbohong' kepada khalayak ramai dan ingkar kepada perdana menteri.

"Hakikatnya, dalam keadaan sekarang dan dengan kontroversi 1MDB yang makin memuncak, tidak banyak pihak yang berani membeli tanah TH itu.

"Lagipun mengapa harus beli atas tangan sedangkan masih banyak tanah TRX yang belum dijual," kata Kadir.

TH membeli tanah 0.64ha itu, untuk membangunkan sebuah menara kediaman, pada April, dengan harga RM188 juta – 43 kali ganda harga yang dibayar syarikat sarat hutang 1MDB ketika membelinya daripada kerajaan persekutuan empat tahun lalu.

Menyedari tindak balas dan sensitiviti di kalangan pendeposit terhadap pembelian itu, Tabung Haji dengan cepat berjanji menjual tanah itu, dengan keuntungan, tidak lama selepas membelinya, mengatakan ia mempunyai pembeli yang sedia menunggu, membuktikan tanah itu mempunyai nilai yang meningkat dan merupakan sesuatu yang menguntungkan.

Azeez berkata, keputusan menjual tanah itu atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Oleh itu, Kadir mempersoalkan motif perdana menteri dan para penasihatnya, termasuk ahli perniagaan Low Taek Jho, dalam menubuhkan 1MDB yang mempunyai modal berbayar sebanyak RM1 juta tetapi menanggung hutang sebanyak RM42 bilion.

"Di manakah amalan urus tadbir mengenai 'debt to equity ratio' (nisbah hutang kepada modal)? Di manakah ciri-ciri kecukupan modal (capital adequacy)?

"Jawapannya diberikan oleh Najib sendiri apabila beliau tidak menafikan akaun AmBank Islamic atas nama beliau yang pernah mengandungi simpanan RM2.6 bilion.

"Setiap hari berlalu dan Najib membisu mengenai akaun itu, semakin ramai orang akan membuat andaian dan percaya wujudnya pertalian antara urus niaga luar biasa 1MDB dan berbilion ringgit wang 1MDB yang tidak dapat disahkan."

Beliau berkata, menjadi hak perdana menteri dan jentera propagandanya membuat pelbagai cerita untuk meyakinkan mereka yang tidak tahu apa-apa tentang ekonomi, perniagaan dan pembiayaan yang canggih.

"Tetapi rakyat jelata yang celik ekonomi, perniagaan dan kewangan tidak boleh diyakinkan lagi.

"Mereka boleh membezakan antara kaca dan permata."

The Wall Street Journal melaporkan pada 2 Julai, sejumlah AS$681 juta yang berasal dari Tanore Finance, sebuah syarikat di British Virgin Islands, didepositkan ke dalam akaun Najib dalam dua transaksi pada 21 dan 25 Mac, 2013, sebelum pilihan raya umum pada Mei.

Salah satu akaun itu dilaporkan ditutup pada 30 Ogos tahun yang sama.

Sejumlah AS$11.1 juta lagi, yang berasal dari syarikat milik Kementerian Kewangan, SRC International Sdn Bhd, dipindahkan dalam dua transaksi antara Disember 2014 dan Februari tahun ini.

Akaun kedua itu dilaporkan ditutup pada 9 Mac tahun ini lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails