Saturday, July 25, 2015

3 sebab mengapa KDN gantung The Edge


Kementerian Dalam Negeri (KDN) malam tadi menjelaskan 3 sebab penggantungan permit penerbitan akhbar harian The Edge dan The Edge Financial Daily untuk tempoh 3 bulan bermula 27 Julai ini.

Pertama, tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitannya menimbulkan persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang seterusnya berkait dengan kerajaan dan kepimpinan negara.

Kedua, laporan yang diterbitkan turut bersumberkan maklumat yang diragukan dan belum ditentukan kesahihannya, yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan boleh/mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam dan kepentingan negara.

Ketiga, isu berkaitan 1MDB ini sedang disiasat oleh pasukan penyiasat yang ditubuhkan. Oleh itu, adalah tidak wajar pemberitaan yang boleh menimbulkan persepsi negatif yang dilakukan secara berterusan dan ia adalah tidak adil kepada syarikat 1MDB seterusnya kepada kerajaan dan kepada kepimpinan negara.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Alwi Ibrahim dalam kenyataan berkata penggantungan itu dibuat selepas KDN meneliti laporan berkaitan 1MDB dalam kedua-dua penerbitan tersebut dan jawapan surat tunjuk sebab yang dikemukakan.

"Kedua-dua penerbitan itu didapati mengandungi hasil penerbitan yang melanggar penerbitan Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 kerana mengandungi hasil penerbitan yang memudarat atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam atau mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara," katanya.

Alwi berkata media sewajarnya lebih bertanggungjawab dalam laporan yang diterbitkan selaras dengan kebebasan yang diberi.

"Impak kepada laporan yang tidak bertanggungjawab perlu diperhalusi kesannya kepada ketenteraman awam dan kepentingan negara dan tidak bersalahan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 2012)," katanya.

Penerbitan juga perlu dilaksana mengikut peraturan permit penerbitan yang berkuat kuasa, katanya. – Bernama


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails