Monday, June 22, 2015

Yayasan Rakyat 1Malaysia ni milik siapa?


DAP hari ini mempersoalkan siapa pemilik Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak serta menggesa perdana menteri mendedahkan sama ada yayasan berkenaan dimiliki organisasi kebajikan swasta atau kerajaan Malaysia.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, akhbar Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan syarikat yang berkepentingan daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu memberi sumbangan kepada "kebajikan" yang dikawal perdana menteri.

Pua berkata, akhbar kewangan antarabangsa itu mendedahkan, YR1M menerima sumbangan bernilai RM35 juta daripada Genting Plantation sebaik sahaja pengambilalihan Genting Sanyen oleh 1MDB berjaya.

"Sebelum ini, kita mengetahui semua keputusan 1MDB perlu melalui kebenaran bertulis perdana menteri tanpa pengecualian.

"Sumbangan syarikat seperti Genting Bhd menerima manfaat untuk asetnya yang dipindah milik kepada entiti dikawal perdana menteri dengan harga begitu tinggi menimbulkan konflik kepentingan yang jelas.

"Ini sempadan kepada rasuah dan salah guna kuasa yang jelas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan semakannya, Pua mendedahkan, laman web YR1M menyatakan yayasan itu dipengerusikan Najib tanpa menamakan mana-mana individu terlibat dalam kapasiti rasmi.

Semakannya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati yayasan berkenaan adalah syarikat terhad dengan jaminan, dianggotai 4 ahli lembaga pengarah termasuk Najib selain Datuk Azlin Alias, Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail dan Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin.

Pua berkata, Azlin adalah ketua setiausaha sulit perdana menteri yang maut dalam nahas helikopter bersama bekas ahli Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis di Semenyih baru-baru ini.

Manakala, Wan Ahmad merupakan pegawai khas Najib sejak 2004, dan Che Lodin tidak bekerja untuk Jabatan Perdana Menteri.

"Perdana menteri bagaimanapun melantik Che Lodin sebagai pengerusi 1MDB," kata Pua, yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

"Daripada maklumat berikut dan dokumen berkenaan, jelas menunjukkan YR1M ialah unit kebajikan yang dikawal selia sepenuhnya perdana menteri," katanya.

Pua berkata, YR1M boleh dikatakan sebagai "yayasan" yang dananya digunakan atas kehendaknya.

"Seperti didakwa, dengan bukti oleh WSJ, sumbangan itu kemudiannya disalurkan kepada aktiviti berkaitan kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN)," katanya.

Sehubungan itu, katanya rakyat Malaysia perlu mengetahui sema ada berlaku pecah amanah atau amalan korupsi dalam transaksi yang didedahkan sebelum ini.

"Keseluruhan pembiayaan dan struktur perbelanjaan YR1M diburukkan lagi dengan kegagalan mereka menyerahkan penyata kewangan kepada SSM yang tamat pada Disember 2014 sejak ditubuhkan pada Januari 2013.

"Tidak masuk akal perdana menteri melanggar undang-undang negara ini,' katanya.

Sehubungan itu, Pua menggesa Najib menyerahkan penyata kewangan YR1M untuk membuktikan yayasan berkenaan tidak melakukan kesalahan.

"Kegagalan melakukan perkara itu akan menyaksikan perdana menteri dilihat bersalah dalam aspek salah laku kewangan oleh rakyat, kerana beliau ada segalanya untuk disembunyikan,” katanya lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails