Friday, June 12, 2015

Tol naik sehingga RM1 di 16 lebuh raya Ogos ini?


Sebanyak 16 lebuh raya utama di seluruh negara dijangka menaikkan kadar tolnya sebanyak 20 sen hingga RM1 pada Ogos ini jika cadangan kenaikan itu diluluskan Kabinet, lapor Berita Harian hari ini.

Ia memetik Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mengikut perjanjian konsesi, tol semua lebuh raya tersebut sudah lama dinaikkan.

"Kalau ada keputusan nanti, kita akan maklumkan," katanya.

Difahamkan, ekoran penangguhan kadar kenaikan tol itu, semua syarikat konsesi yang terbabit diberi pampasan berjumlah RM558.9 juta.

Antara kadar tol yang dijangka meningkat secara mendadak ialah Lebuhraya Besraya yang dijangka naik 70 sen, daripada RM1.30 kepada RM2.

Kadar tol Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) bakal meningkat sebanyak 60 sen, daripada RM1.60 kepada RM2.20, Lebuhraya Damansara -Punchong (LDP) akan dinaikkan 50 sen, daripada RM1.60 kepada RM2.10.

Manakala Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Kuala Lumpur Kuala Selangor (Latar) turut akan mengalami peningkatan sebanyak 50 sen, daripada RM2 kepada RM2.50, dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK) naik 60 sen, daripada RM1 kepada RM1.60.

Lebuh raya lain yang bakal mengalami peningkatan drastik ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya Kulim-Butterworth, Lebuhraya Koridor Guthrie dan Lebuhraya Pantai Timur 1.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan beliau tidak boleh mendedahkan isu berkaitan kenaikan tersebut sama ada ia akan dibahaskan di mesyuarat Kabinet atau tidak.

"Apa boleh saya katakan ialah, ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu," katanya.

Pada November tahun lalu, kerajaan memutuskan menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 20 lebuh raya di seluruh negara yang sepatutnya dinaikkan tahun ini lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails