Thursday, June 25, 2015

Shafee Abdullah diminta tak masuk campur urusan PAC


Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamad meminta supaya peguam Umno Tan Sri Shafee Abdullah supaya tidak masuk campur dengan urusan jawatankuasa itu.

Nur Jazlan berkata Shafee juga tiada hak untuk meminta MP Petaling Jaya Utara Tony Pua supaya meletakkan jawatannya dalam PAC kerana menjadi terlalu kritikal terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Beliau (Shafee) tidak mempunyai hak untuk meminta ahli PAC yang merupakan ahli badan perundangan, cabang ketiga daripada kerajaan serta dipilih oleh rakyat.

"Secara peribadi saya fikir dia (Pua) telah membantu untuk mengetengahkan isu 1MDB yang mana majoriti rakyat Malaysia percaya bahawa PAC akan menolak isu ini dan memihak kepada kerajaan.

"Kami bekerja dengan baik sebagai satu pasukan," kata Nur Jazlan kepada Malaysiakini.

Menurut Nur Jazlan lagi, Pua tidak pernah menggunakan sebarang maklumat daripada perbicaraan PAC mengenai 1MDB dalam mana-mana kenyataannya dan kebanyakkannya daripada jawapan Parlimen dan sumber lain.

"Pua melakukan dua peranan iaitu sebagai ahli parlimen untuk Petaling Jaya Utara dan ahli PAC. Dan sejauh mana yang saya tahu, dia tidak menggunakan apa-apa maklumat daripada perbicaraan PAC mengenai 1MDB di dalam kenyataannya.

"Apa sahaja maklumat yang digunakan dalam kenyataannya itu diperolehi daripada jawapan Parlimen dan sumber-sumber lain," katanya lagi.

Nur Jazlan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Shafee dalam laporan akhbar Berita Harian yang meminta Pua meletakkan jawatan sebagai ahli PAC bagi memastikan penyiasatan 1MDB dilakukan secara adil.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails