Wednesday, June 3, 2015

Mesyuarat tergempar mengenai 1MDB diadakan malam tadi?


Satu mesyuarat tergempar dipercayai bagi mendengar penjelasan mengenai syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diadakan malam tadi menjelang mesyuarat Kabinet hari ini dan dihadiri hampir kesemua menteri, lapor akhbar milik Umno.

Menurut Utusan Malaysia, mesyuarat tertutup itu diadakan selama kira-kira 3 jam bermula jam 9 malam di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selaku jurucakap isu 1MDB enggan mengulas mengenai perkara tersebut ketika ditemui Utusan Malaysia.

The Malaysian Insider bagaimanapun difahamkan, pertemuan malam tadi bukanlah mesyuarat tergempar, tetapi sudah dijadualkan sebelum ini untuk menteri Kabinet.

Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan turut berada di hotel sama menyertai majlis makan malam yang dihadiri pemimpin-pemimpin agama dari seluruh negara.

Dua hari lalu Utusan Malaysia melaporkan Najib memberikan kata dua kepada mana-mana anggota Kabinet yang tidak menyokongnya dalam usaha memulihkan 1MDB untuk meletakkan jawatan. 

Memetik sumber, akhbar itu melaporkan, Najib membuat kenyataan itu sejurus selepas Husni selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada anggota Kabinet pada mesyuarat Kabinet Jumaat lalu.

Utusan Malaysia turut melaporkan tiada seorang pun anggota Kabinet berani tampil menyatakan pendirian mereka untuk tidak bersama Najib walaupun diberi peluang berbuat demikian.

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bagaimanapun berkata kepada The Malaysian Insider, Najib tidak memberikan kata dua, sebaliknya beliau mengamalkan keterangkuman dan mahukan konsensus daripada rakan Kabinetnya.

"Dalam mesyuarat itu, perdana menteri kata: 'Jika sekiranya, ada antara anda yang tidak selesa dengan perkara ini, sila serahkan atau tulis (surat peletakan jawatan), dan saya akan faham.'

"Jika kamu berada di sana, tidak akan terasa seperti beliau memberi kata dua," kata menteri pelancongan dan kebudayaan itu.

Nazri berkata, Kabinet turut memutuskan Husni sebagai jurucakap rasmi dalam mana-mana isu yang berkaitan 1MDB untuk menyelaraskan sebarang kenyataan yang dikeluarkan dan memastikan ia tepat.

Baru-baru ini satu klip video menjadi viral menunjukkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu ucapannya pada satu majlis tertutup dengan ahli Umno di Janda Baik, Pahang menggesa semua ahli lembaga pengarah 1MDB dipecat berhubung masalah dihadapi syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Bagaimanapun, apabila ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang daripada percutian di luar negara semalam, Muhyiddin hanya mendiamkan diri dan melambaikan tangan apabila ditanya mengenai kata dua Najib kepada anggota Kabinet. 

Sejurus beliau tiba di kenderaannya, penyokongnya melaungkan "Hidup Tan Sri!" dan "Selamatkan Malaysia", sambil memberikan tepukan gemuruh lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails