Tuesday, June 2, 2015

Malaysia tak akan capai Wawasan 2020, kata Dr Mahathir


Malaysia tidak akan berjaya mencapai Wawasan 2020 dan menjadi negara maju dalam masa lima tahun akan datang kerana ia tidak mempunyai kepimpinan yang diperlukan dan tidak meletakkan keutamaan pada tempatnya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, sebuah negara maju memerlukan produktiviti yang tinggi, tetapi Malaysia hanya menumpukan kepada usaha menjadi negara berpendapatan tinggi dan dengan pendapatan per kapita yang tinggi.

“Kita tak akan capai sepenuhnya bentuk pembangunan yang melayakkan kita menjadi negara maju pada 2020," kata Dr Mahathir pada satu forum bertajuk “Kepimpinan dalam lonjakan terakhir menuju Wawasan 2020” anjuran Kelab Koresponden Asing Malaysia di Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau berkata, pendapatan per kapita merupakan kaedah "artificial" (buatan) untuk mengukur pembangunan, kerana ia tidak memberikan gambaran yang adil mengenai kekayaan rakyat Malaysia.

"Contohnya, jika ada sekumpulan 1,000 orang, dan salah seorang daripada mereka ialah jutawan, manakala yang lain tiada pendapatan, pendapatan per kapita mereka akan menjadi RM1,000. Ini sangat mengelirukan."

Beliau berkata, walaupun sekiranya negara ini memperoleh status berpendapatan tinggi, ia tidak akan maju jika kos sara hidup kekal tinggi kerana rakyat Malaysia akan mempunyai kuasa beli yang rendah.

Katanya, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada memperbaiki pendidikan, meningkatkan produktiviti dan gaji, sambil memastikan kos yang rendah.

"Pemimpin memainkan peranan yang amat besar juga. Jika pemimpin tidak memahami dan tidak mampu menyelesaikan masalah yang didepani negara, maka diragui kemajuan boleh dicapai.

"Seorang pemimpin menjadi pemimpin kerana dia mempunyai lebih banyak idea daripada pengikutnya," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata, pemimpin yang baik akan berusaha mengekalkan keamanan dan kestabilan, dan tidak akan teragak-agak menyekat kebebasan rakyat untuk mencapai matlamat ini.

"Memang bagus menjadi bebas. Tetapi seorang pemimpin perlu mengambil berat tentang pembangunan negara dan bersedia menjadi tidak popular bagi memastikan negara kekal stabil dan aman supaya semua orang boleh menikmati kehidupan yang baik.

"Jika seorang pemimpin tidak tahu bagaimana mengendalikan perkara ini, sudah tentu negara tidak mencapai keamanan. Tiada keamanan: tiada pembangunan".

Pada 21 Mei, Najib mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sebagai pusingan terakhir dalam usaha mencapai status negara maju menjelang 2020 lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails