Monday, June 29, 2015

Harga ayam dijangka akan meningkat


Memandangkan Hari Raya Aidilfitri semakin hampir, peniaga berkata harga ayam akan meningkat disebabkan kenaikan kos makanan serta peningkatan permintaan walaupun bekalan kurang, lapor The Star hari ini.

Pengerusi Persatuan Ayam Perak Datuk Ding Thong Chow memberitahu akhbar bahasa Inggeris itu harga ayam meningkat kepada RM5 sekilogram daripada RM4.80.

Perak membekalkan 20% daripada pengeluaran ayam di seluruh negara.

Ding berkata, terdapat kekurangan bekalan ayam sebelum Ramadan, tetapi permintaan untuk ayam kekal tinggi sepanjang bulan puasa.

Beliau juga mendakwa ayam kini mengalami pertumbuhan terbantut.

"Biasanya selepas 38 hari, ayam yang berat kira-kira 2.5kg dan sedia untuk disembelih tetapi kini ia hanya mempunyai berat kira-kira 2kg pada peringkat itu. Ia mengambil masa lebih lama untuk ayam membesar.

"Kami rasa ini disebabkan kualiti jagung kering yang rendah diimport dari Argentina. Terdapat mogok dalam kalangan pekerja, penghantaran ditangguhkan," beliau dipetik sebagai berkata.

Di Johor, peniaga ayam berkata harga makanan ayam meningkat, memaksa mereka untuk memindahkan kos tambahan itu kepada pengguna, lapor The Star.

Mereka menyalahkan ringgit yang lebih rendah berbanding dolar AS sebagai punca.

"Kami tidak menetapkan kadar ini tetapi kita perlu menaikkan harga untuk membuat keuntungan yang minimum," kata seorang peniaga di pasar basah Larkin dipetik sebagai berkata.

Peniaga Pasar Kampung Melayu Faaiz A. Rahman, 29 berkata, harga ayam akan meningkat kepada RM7.50 daripada harga semasa RM6.40 perkilogram, sehingga kerajaan melaksanakan mekanisme kawalan harga untuk Hari Raya.

Di Petaling Jaya, seorang pemilik rangkaian restoran India Muslim memberitahu The Star harga ayam meningkat sejak dua bulan yang lalu.

"Kami mendapat SMS setiap hari dari pembekal memaklumkan harga tersebut. Ada hari yang ianya meningkat sebanyak 60 sen dan 70 sen. Jika harga turun, ia hanya sebanyak 10 sen dan 20 sen.

"Pembekal katakan tiada stok yang mencukupi," beliau dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Persatuan Penternak Ayam Malaysia Jeffrey Ng, menafikan terdapat kekurangan bekalan.

"Setakat ini, sepatutnya tidak ada apa-apa masalah dalam bekalan untuk Hari Raya," beliau dipetik sebagai berkata.

Ng menambah harga makanan ayam bukanlah yang tertinggi dalam tempoh 2 tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek sebelum ini mengatakan tiada masalah dalam bekalan ayam menjelang Aidilfitri.

"Penternak memberi jaminan kepada kita akan ada bekalan yang mencukupi, jadi peniaga tidak boleh memberi alasan," beliau dipetik sebagai berkata.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails