Friday, June 19, 2015

Benarkah Felda bayar RM2.8 Bilion untuk 'bailout' kroni Najib di Indonesia?


Felda Global Ventures Bhd, syarikat perladangan tersenarai paling besar di Malaysia, menggambarkan pembelian aset gula bernilai AS$746 juta (RM2.8 bilion) milik ahli perniagaan Indonesia, Peter Sondakh sebagai bukti integrasi ekonomi di kalangan 10 negara anggota Asean. 

Bagaimanapun, pelabur dan ahli bank mempersoalkan perolehan itu, dengan berkata pembelian itu terlalu mahal bagi Felda dan berupa usaha menyelamatkan Sondakh yang rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pembelian itu berlaku ketika masih hangat isu syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dan ia menimbulkan kebimbangan mengenai tadbir urut syarikat melibatkan syarikat berkait kerajaan (GLC) yang mendominasi ekonomi Malaysia, serta penggunaan dana awam oleh kerajaan.

Saham Felda mencatatkan rekod kejatuhan minggu ini berikutan pengumuman pembelian ekuiti majoriti bukan-kawalan dalam kumpulan perladangan PT Eagle High Plantations dan 95% projek gula di kepulauan Papua, kedua-duanya dimiliki Rajawali Group milik Sondakh.

Di bawah pembelian itu, Felda bercadang membayar AS$679 juta bagi 37% kepentingan dalam Eagle High dan AS$66.5 juta lagi bagi aset gula.

Harga sedemikian terlalu tinggi, menurut penganalisis pelaburan yang memerhatikan syarikat perladangan Malaysia itu yang pada pertengahan 2012 menyenaraikan sahamnya di pasaran saham tempatan, tetapi kini antara saham yang paling rugi di kalangan GLC.

Dan ini sebabnya.

Menurut pembelian itu, setiap saham Eagle High dinilai pada 72% lebih tinggi daripada harga yang diniagakan sebelum pengumuman pembelian FGV dibuat.

Ini kerana Felda membayar kira-kira AS$17,535 se-hektar bagi bagi aset Eagle High, lebih daripada purata harga ladang kelapa sawit di Indonesia iaitu antara AS$8,000 dan AS$13,000 se-hektar, menurut CIMB Research.

Pembelian yang akan dibantu pinjaman dan rezab dalam Felda, akan menghapuskan sejumlah besar rezab tunai Malaysia, yang kini berada pada RM2.87 bilion.

Bagi Rajawali Group, ia merupakan durian runtuh.

Walaupun membayar harga premium bagi 37% ekuiti dalam Eagle High, Felda tidak akan dapat mengawal syarikat berkenaan, kerana kumpulan Rajawali, yang sahamnya akan turun kepada 31.6%, masih kekal mengawal.

Penganalisis bank dan pelaburan di Jakarta dan Kuala Lumpur berkata, pembelian itu penting sebagai talian hayat kewangan Sondakh, yang bergelut menyelesaikan hutangnya dalam sektor perladangan dan perlombongan ekoran kejatuhan harga komoditi.

Rajawali diasaskan pada tahun 1984 dan mempunyai kepentingan dalam pertanian, perlombongan, telekomunikasi dan produk kepenggunaan.

Jualan perniagaan selular Indonesia kepada syarikat milik kerajaan, Telekom Malaysia pada hujung 2004 membuka laluan buat Sondakh mengembangkan perniagaannya masuk ke Malaysia.

Beliau mendapat beberapa aset hartanah di Kuala Lumpur dan resort peranginan di Langkawi pada tahun 2006, dan mula menjalinkan hubungan dengan pertubuhan politik Malaysia.

Sondakh, 62, mula rapat dengan Omar Mustapha Ong, ahli perunding perniagaan yang berada dalam kelompok kecil penasihat Najib yang dulunya timbalan perdana menteri.

Sondakh merupakan antara ahli perniagaan luar yang hadir semasa Najib diangkat menjadi perdana menteri pada April 2009 oleh Yang di-Pertuan Aging dalam satu majlis tradisi di istana Kuala Lumpur.

Beliau sudah lama cuba menggabungkan aset perladangannya dengan syarikat minyak kelapa sawit Malaysia. Beberapa tahun lalu, Sondakh membuat tawaran dengan Sime Darby Bhd untuk mendapatkan salah satu syarikat konglomerat komoditi yang berpusat di Perancis, Loius Dreyfus. Namun perjanjian itu tidak berjaya kerana percanggahan harga, kata eksekutif kewangan yang rapat dengan situasi itu.

Ketika hubungan Sondakh dengan parti politik Malaysia mendatangkan keuntungan kepadanya, penganalisis berkata perjanjian Felda yang bakal diperkukuhkan itu menimbulkan kebimbangan tentang prospek ekonomi Malaysia.

Pasaran saham tempatan dan ringgit dipukul oleh aliran keluar portfolio asing ekoran kebimbangan umum terhadap kemunculan pasaran baru.

Skandal pelaburan 1MDB dengan tanggungan hutang RM42 bilion juga menjadi pertimbangan terhadap sentimen pelabur.

Perjanjian Felda itu tidak akan membantu kerana caranya sama seperti terlebih bayaran aset di kalangan anak syarikat kerajaan (GLC) lain.

1MDB misalnya dikritik kerana secara kasarnya terlebih bayar untuk aset tenaga daripada 2 kumpulan perniagaan Malaysia yang mempunyai hubungan secara politik dan urusan dengan Eagle High Plantation milik Sondakh hanya akan menambahkan lagi kritikan terhadap Najib, diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertubi-tubi mempersoalkan penyalahgunaan ekonomi kerajaan.

Perjanjian Felda juga membuktikan masalah politik buat Najib. Lebih 300 penempatan Felda seluruh negara dengan peneroka sekeluarga mewakili sokongan kuat kawasan luar bandar untuk kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib.

Penganalisis politik berkata, prestasi muram Felda sejak disenaraikan dalam bursa saham dan kejatuhan harga komoditi menimbulkan rasa kecewa dalam situasi politik yang tidak menentu. – The Edge Review




Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails