Wednesday, June 24, 2015

Bekas pakar IT akan kongsi 1MDB dibayar RM15 juta untuk letak jawatan


Seorang eksekutif IT Switzerland yang ditahan pihak berkuasa Thailand atas dakwaan cuba memeras ugut majikannya, PetroSaudi International berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dikatakan menerima bayaran RM15 juta sebagai ganjaran beliau meletak jawatan.

Media Thailand memetik polis negara itu sebagai berkata Xavier Andre Justo, 49, menafikan beliau menuntut hampir RM10 juta lagi bagi tujuan itu.

Isnin lalu, Bahagian Pencegahan Jenayah Polis Diraja Thai menahan Justo di rumahnya di Koh Samui dan merampas komputer serta cakera keras, menurut The Bangkok Post.


Justo dikatakan menuntut 90 juta baht (RM9.9 juta) daripada PetroSaudi bagi menutup mulutnya daripada mendedahkan maklumat sulit kepada pesaing, menurut Akaradech Pimonsri, pemangku komander Bahagian Pencegahan Jenayah.

Bagaimanapun, Justo menafikan tuduhan itu. Justo bekerja untuk PetroSaudi tetapi dibayar 140 juta baht (RM15 juta) supaya meninggalkan syarikat itu, selepas beliau didapati melanggar peraturan syarikat.

Syarikat tenaga Arab Saudi itu merupakan rakan kongsi 1MDB, syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan yang sedang dilanda kontroversi dengan hutang mencecah sehingga RM42 bilion dan kini menjalani penyusunan semula.

The Bangkok Post berkata polis Thai percaya Justo membocorkan maklumat mengenai PetroSaudi kepada “laman web berita di UK”, yang dikenal pasti sebagai portal Sarawak Report yang berpangkalan di London.

Memetik sumber Malaysia, akhbar itu berkata maklumat dan laporan yang disiarkan laman web itu adalah “sebahagian plot untuk menjatuhkan” Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Antara laporan itu ada menyebut urusniaga PetroSaudi dengan 1MDB, yang dimulakan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low pada September 2009.

Dalam urusniaga itu, Low didakwa menyeleweng AS$700 juta daripada kerjasama berkenaan dan wang itu dipindahkan ke satu syarikat di bawah kawalannya.

Menurut The Bangkok Post, PetroSaudi menafikan laporan berkenaan manakala 1MDB nafi ada kaitan dengan Low.

Low yang berasal dari Pulau Pinang juga kekal dengan kenyataannya dia tidak bersalah dalam isu 1MDB.

Sementara itu, Sarawak Report dalam surat terbukanya kepada Kementerian Luar Switzerland melahirkan kebimbangan terhadap penahanan Justo dan layanan yang diterima ketika dalam tahanan, tetapi tidak mengesah atau menafikan dakwaan polis Thai mengenai peranan Justo membekalkan maklumat kepada laman web itu.

“Saya sangat percaya warganegara Switzerland itu dijadikan subjek balas dendam dan gangguan berhubung perkara di mana mahkamah Thai tidak mempunyai bidang kuasa terhadapnya,” tulis editor, Clare Rewcastle Brown.

Katanya, sebelum ini beliau cuba memberikan butiran “aktiviti penipuan” PetroSaudi yang ada kaitan dengan 1MDB kepada pendakwa Switzerland, tetapi diberitahu bukti tidak cukup untuk inkuiri diadakan.

Brown kini mendakwa mempunyai “3 juta emel dengan butir jenayah itu, di mana PetroSaudi International adalah pihak terlibat” dan mendesak pihak berkuasa Switzerland menyiasat perkara itu. 

“PetroSaudi International kini tahu maklumat daripada pelayan mereka adalah asli, apabila menuduh bekas pekerja sendiri mencurinya,” tulis Brown.

PetroSaudi dalam satu kenyataan malam tadi berkata pihaknya lega dengan penahanan Justo dan syarikat itu menjadi “mangsa kecuaian jenayah yang malangnya dipolitikkan di Malaysia”.

“Kami gembira akhirnya dapat membetulkan fakta dan kami minta maaf kepada rakyat Malaysia atas kemudaratan yang disebabkan oleh bekas kakitangan kami yang jahat,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, 1MDB masih dalam siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selain Bank Negara Malaysia dan Jabatan Audit Negara ~ The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails