Friday, June 12, 2015

A. Samad Said akan sertai DAP


Sasterawan Negara Datuk A Samad Said mengesahkan spekulasi bahawa dirinya akan menyertai DAP secara rasmi esok.

“Itu betul,” kata Samad ringkas ketika dihubungi portal The Malaysian Insider.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Samad itu hanya akan mengulas lanjut tentang pendiriannya dalam sidang media bersama pemimpin tertinggi DAP di Kelantan, esok.

“Kita akan mengadakan sidang media, jadi di sana akan dijawab,” ujarnya yang menambah sidang media itu belum ditetapkan waktunya, sama ada pada tengah hari atau sebelah petang.

Laporan itu turut memetik kenyataan daripada Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, bahawa pada pagi esok, Samad akan menyertai para pemimpin DAP tertinggi dalam program anjuran Gabungan Impian Kelantan (GIK) di Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang.

Difahamkan antara yang terlibat ialah Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli dan bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan.

Persoalan sama ada keputusan Samad, 80, menyertai parti itu merupakan usaha pujukan DAP ataupun atas kerelaan sendiri, juga akan terjawab esok.

Samad sebelum ini banyak membuat kemunculan dalam perhimpunan dan protes anjuran Pakatan Rakyat (PR) dan badan bukan kerajaan (NGO), selain memimpin Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) bagi menuntut perubahan dalam proses pilihan raya lapor AstroAwani


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails