Thursday, May 21, 2015

Mula-mula tunai, lepas tu aset sekarang unit pula.. mana satu yang betul 1MDB ni?


Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata Putrajaya tersalah tafsir mengenai wang disimpan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di sebuah bank di Singapura.

Sebaliknya, Husni menjelaskan aset yang dibawa pulang dari Pulau Cayman dan disimpan di sebuah bank Singapura itu adalah dalam bentuk unit, bukan wang seperti yang dilapor sebelum ini.

"Saya rasa ini satu kesilapan, kesilapan dalam erti kata tafsiran apabila mereka (1MDB) mengatakan sudah menebus dan menyimpannya di sebuah bank di Singapura," kata Husni yang tidak menamakan bank di Singapura itu semasa ditemui pemberita di luar Dewan Rakyat.

"Ia sebenarnya simpanan, ia dalam bentuk unit, ia disokong oleh dana kekayaan berdaulat."

Husni berkata, Putrajaya sedang berusaha membawa pulang aset yang disimpan itu secepat mungkin. 

"Jadi, kami harap untuk membawanya pulang secepat mungkin," kata Husni.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaku wang 1MDB yang dibawa pulang daripada Pulau Cayman tidak disimpan di bank di Singapura.

Dalam jawapannya di Dewan Rakyat, menteri kewangan itu menjelaskan hanya baki pelaburan ditebus dalam bentuk aset di bank Singapura yang tidak dinamakan.

"1MDB sudah menjelaskan baki pelaburan yang sudah ditebus oleh 1MDB adalah dalam bentuk aset di dalam mata wang dolar AS di sebuah bank di Singapura bertujuan untuk mengimbangi liabiliti dolar AS.

"Bank ini merupakan penjaga bagi pihak 1MDB untuk aset ini," kata perdana menteri dalam jawapan bertulis semalam kepada soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Husni juga berkata 1MDB akan cuba mengelak daripada berdepan "cross default" seperti yang dilaporkan oleh akhbar Business Times dari Singapura.

"Kami tidak mahu ia berlaku, jika ia berlaku ia akan beri kesan sistemik, jadi kami tidak mahu ia berlaku," katanya.

Mengenai masalah aliran tunai yang dihadapi 1MDB, Husni berkata ia hanya jangka masa pendek. 

"Ia bukan masalah besar, ia hanya masalah aliran tunai untuk jangka masa pendek, hanya untuk jangka masa pendek," katanya.

Husni turut memberitahu satu laporan akan dibawanya sendiri ke mesyuarat Kabinet pada Isnin depan bagi membentangkan langkah penstrukturan 1MDB.

"Saya sedang menyiapkan laporan dan kemudian akan bentang kepada Kabinet minggu depan.

"Mungkin selepas itu kita akan umum langkah seterusnya untuk menstrukturkan 1MDB," katanya.

Pada 10 Mac lalu, Najib dalam jawapan bertulis mengatakan sejumlah wang AS$1.103 bilion yang dibawa pulang dari Pulau Cayman sudah ditebus dalam bentuk wang tunai dan disimpan dalam mata wang dolar AS di BSI.

Najib juga mengatakan tujuan ia disimpan di Singapura adalah untuk memudahkan urusan pengeluaran wang memandangkan peraturan yang ketat BNM.

Bagaimanapun, sebuah laman pembocor maklumat, Sarawak Report mendedahkan wujud bukti menunjukkan BSI menolak dokumen 1MDB ‎mengenai akaun Brazen Sky Limited di Singapura.

"Dokumen dibekalkan kepada pelbagai pihak berkuasa oleh presiden 1MDB Arul Kanda bagi menunjukkan penyata akaun Brazen Sky pada November 2014‎.

"Namun bank swasta Switzerland memberitahu pihak berkuasa Singapura yang dokumen itu bukan berasal daripada mereka dan tidak menunjukkan dokumen sah ‎mengenai aset anak syarikat 1MDB," lapor Sarawak Report.

Menurut portal itu, maklumat mengenai penyata bank kemudian dilaporkan semula ke Malaysia pada 13 Mac lalu, 2 hari selepas perdana menteri yang juga menteri kewangan mengemukakan jawapan bertulis mengesahkan baki AS$1.103 bilion sudah ditebus kembali daripada dana Brazen Sky ‎di Pulau Cayman dan kini "disimpan" di BSI di Singapura ~ The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails