Wednesday, May 6, 2015

MB Pahang akui GST punca penurunan undi di Rompin..


Barisan Nasional (BN) diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin malam tadi, tetapi dengan memperoleh kurang 6,244 pengundi berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 2 tahun lalu.

Tetapi, bukan itu saja fakta yang perlu direnungi pakar strategi BN. Pilihan raya kali ini, calon mereka Datuk Hasan Arifin berjaya memperoleh 61% undi, kira-kira 5% kurang daripada 66% yang diterima parti itu pada 2013.

Peratusan itu mungkin kelihatan kecil, kata penyelidik bebas, Ibrahim Suffian daripada Merdeka Center, namun di peringkat nasional, ia menunjukkan petanda lebih besar untuk BN, khususnya Umno.

Ini kerana, Rompin kubu kuat Umno. Kawasan Parlimen yang dianggarkan seluas gabungan Negeri Sembilan dan Melaka itu, mempunyai penduduk luar bandar yang besar, majoritinya dibentuk oleh peneroka Felda.

Dan kebanyakan peneroka Felda tidak lagi dianggap pengundi Umno secara automatik, kerana pecahan di pusat pengundian di Felda menunjukkan sejumlah besar pengundi muda mengundi PAS.

Peratusan berkurangan

Pada 2013, penyandang kerusi tersebut Tan Sri Jamaluddin Jarjis, yang meninggal dunia 4 April lalu, memenangi 30,040 daripada sejumlah 45,849 undi. Bermakna, beliau memperoleh 66% undi.

Malam tadi, Hasan menewaskan calon PAS, Nazri Ahmad, dengan memenangi 23,796 daripada 39,288 undi, atau 61% daripada keseluruhan undi.

Ibrahim berkata, perbezaan ini sangat penting kerana peratusan undi popular memberi gambaran lebih tepat mengenai tahap atau trend sokongan kepada parti.

Peratusan undi popular lebih bermakna berbanding majoriti undi yang dimenangi kerana majoriti undi bergantung kepada bilangan pengundi yang keluar mengundi, biasanya lebih kecil ketika PRK.

"Hakikat yang ia dilihat sebagai kerusi selamat dan pengundian tidak berlangsung pada hari minggu, membuatkan jumlah pengundi yang keluar mengundi menurun," kata Ibrahim.

Semalam, peratusan keluar mengundi adalah 70%, berbanding 85.89% pada 2013.

"Jadi, jika tidak diambil kira pengundi muda, pengundi luar dan penduduk bandar yang tidak pulang mengundi, hanya tinggal pengundi tempatan, yang secara tipikalnya penyokong tegar Umno," katanya.

Ini bermakna, 5% kejatuhan sokongan itu adalah di kalangan mereka yang kebiasaannya mengundi BN, kata Ibrahim.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengakui penurunan itu, dan memberitahu wartawan malam tadi, beliau menjangkakan BN mendapat majoriti 8,000 undi.

"Pengundi cuba menyampaikan mesej kepada kerajaan, cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan Felda adalah isu yang memberikan kesan kepada rakyat. Kita perlu menanganinya.

“Saya harap kerajaan persekutuan boleh menjelaskan bagaimana kita boleh mengendalikan isu tersebut," katanya.

Ibrahim yang turut berpendapat dengan analisis ini berkata, cukai yang tidak popular itu dan kejatuhan harga minyak kelapa sawit turut memberikan kesan kepada sentimen pengundi.

Malah, pergaduhan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga memainkan peranan dalam perkara itu.

Adnan bagaimanapun berkata, GST semata-mata bukanlah masalahnya, namun bagaimana kaedah penjelasan kerajaan kepada orang ramai mengenai cukai berkenaan.

"Kita tidak menerangkan secara efektif kepada rakyat berkenaan GST. Pembangkang mengelirukan mereka," kata Adnan.

Undi protes

Sokongan kepada PAS bukan saja diperoleh daripada pengundi di kawasan bandar seperti di Muadzam Shah dan Bandar Baru, yang dimenangi mereka, tetapi juga pengundi muda di kawasan penempatan Felda.

Sekitar 70% pengundi Rompin adalah peneroka Felda.

Kawasan pengundian utama di Felda seperti Felda Keratong, Selancar dan Selendang menunjukkan dua pertiga generasi tua memilih BN berbanding PAS.

Namun PAS berjaya menawan antara 40% hingga separuh undi generasi muda di kawasan mengundi ini.

Malah, sekurang-kurangnya di 2 pusat mengundi, Keratong 2 dan Keratong 4, PAS memenangi lebih banyak undi pengundi muda berbanding BN.

Di Keratong 2, PAS dilihat memperoleh hampir separuh undi pengundi berusia apabila meraih 151 undi berbanding BN yang mendapat 162 undi.

Walaupun begitu, Ibrahim melihat perubahan ini dengan berhati-hati dan tidak menganggapnya satu gambaran yang penyokong BN di Rompin kini beralih angin atau ia petanda baik buat PAS.

Di sesetengah penempatan Felda, isu membabitkan pengurusan Felda dan peneroka berkemungkinan juga menyebabkan mereka menzahirkannya melalui undi protes.

Meskipun dengan peningkatan undi di Felda, PAS masih menerima sekitar jumlah yang sama diperolehnya pada 2013. Kali ini parti Islam itu menerima 14,901 undi, kurang 52 undi berbanding PRU13.

"Di kerusi Umno, alternatifnya selalu PAS, jadi pengundi yang kebiasaannya mengundi Umno mungkin akan menunjukkan ketidakpuasan hati mereka dengan mengundi PAS. Atau langsung tidak mengundi.

"Saya rasa ia lebih kepada undi protes terhadap Umno berbanding sokongan yang penuh yakin kepada PAS atau PR," katanya.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails