Monday, May 11, 2015

Lagi dana awam terlibat dengan pembelian tanah milik 1MDB didedahkan..


Menurut sumber The Star, KWAP akan membeli tanah di TRX itu dengan harga RM2,300 bagi setiap kaki per segi berbanding Tabung Haji yang membayar RM2,774 bagi setiap kaki per segi atau RM188.5 juta bagi 0.64 hektar tanah di TRX.

Perbezaannya ialah RM474 bagi setiap kaki persegi.. kenapa begitu besar perbezaannya?

Tak apa.. kita berbaik sangka kita anggaplah tanah yang Tabung Haji beli tu ada emas sebab tu lebih mahal..

Tapi persoalan utamanya ialah Tabung Haji adalah dana milik awam, KWAP juga adalah dana milik awam.. kenapa hanya dua pihak ini yang nampak akan bernilai tingginya tanah milik 1MDB itu?

Apakah lain-lain pelabur tidak dapat melihat bernilainya tanah milik 1MDB itu?

Laporan berkaitan...

Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dikatakan sudah bersetuju untuk membeli sebidang tanah dan bangunan untuk membina ibu pejabat baharunya di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga 15% lebih murah daripada apa yang dibayar Lembaga Tabung Haji kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor The Star Online. 
Menurut sumber yang dipetik portal berbahasa Inggeris itu, perjanjian pembelian sudah termeterai di antara KWAP dan 1MDB yang menyaksikan KWAP akan membayar di antara RM1 bilion hingga RM1.2 bilion untuk bangunan 40 tingkat dan tanah di TRX, Kuala Lumpur. 

Menurut sumber itu lagi, KWAP akan membeli tanah itu dengan harga RM2,300 bagi setiap kaki per segi berbanding Tabung Haji yang membayar RM2,774 bagi setiap kaki per segi atau RM188.5 juta bagi 0.64 hektar tanah di TRX. 

"Perjanjian utama ialah permulaan kepada proses perjanjian jual beli (S&P). Syarat-syarat perjanjian juga ketat di mana KWAP hanya akan membayar 10% terlebih dahulu dan selebihnya apabila bangunan siap," ia memetik sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata. 

Tindakan Tabung Haji membeli tanah seluas 0.64 hektar dari 1MDB dengan harga RM188.5 juta atau RM2,774 sekaki persegi, bagi membina sebuah menara kediaman, menimbulkan kegemparan di kalangan pendeposit, sesetengahnya bertindak mengeluarkan simpanan di cawangannya di Shah Alam pada Khamis. 
Pemimpin politik pembangkang mendakwa Tabung Haji membayar jauh lebih mahal bagi setiap kaki persegi daripada yang dibayar 1MDB kepada kerajaan ketika pertama kali membeli tanah itu, iaitu RM64 setiap kaki persegi, menyifatkan ia langkah "bailout" untuk syarikat yang sarat dengan hutang itu. 
Pada Sabtu, Tabung Haji mengumumkan akan menjual tanah yang dibeli daripada 1MDB itu, berikutan kemarahan orang ramai ke atas urus niaga berkenaan. 
Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menasihati beliau melupuskan tanah itu agar reputasi dana tidak "tercemar" kerana berurus niaga dengan 1MDB, dan demi menghormati "sensitiviti " pendeposit. 
Menurut The Star, KWAP selama ini menyewa di Menara Yayasan Tun Razak, bagi menempatkan ibu pejabatnya, pada RM4 kaki persegi, daripada pemilik bangunan iaitu Yayasan Tun Razak dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. 
Oleh itu, satu "langkah semula jadi" untuk ia berpindah ke TRX memandangkan projek tersebut dipromosikan sebagai hab pasaran kewangan Islam. 
"KWAP mahu berada di kawasan di mana wujudnya pasaran, terutamanya ia akan menjadi pusat kewangan Islam," akhbar harian berbahasa Inggeris itu memetik sumber sebagai berkata, sambil menambah, KWAP dijangka menduduki 10 tingkat ibu pejabat baru itu dan menyewakan selebihnya. 
Sumber juga memberitahu The Star walaupun perjanjian S&P masih belum ditandatangani, mereka yakin termanya akan "lebih baik" daripada perjanjian 1MDB-Tabung Haji. 
"KWAP akan membayar deposit sebanyak 10% dan wang itu akan dimasukkan ke dalam akaun eskrow," kata satu sumber. 
Sumber itu juga berkata, bangunan KWAP baharu itu akan bertentangan dengan stesen Mass Rapid Transit (MRT) bawah tanah yang akan dibina di TRX. 
Stesen itu dikatakan terbesar sepanjang laluan MRT Sungai Buloh-Kajang yang sedang dalam pembinaan. 
The Star berkata, KWAP digalakkan oleh Putrajaya mempertimbangkan aset dalam negara dan pada April lalu, mengumumkan pembelian Integra Tower pada harga RM1.065 bilion, pertama kali menceburi dalam pengambilalihan hartanah domestik. 
Dalam laporan mengumumkan urus niaga itu, KWAP berkata, bangunan pejabat gred-A 39 tingkat itu, dengan keluasan 760.715 kaki persegi dan 850 tempat letak kereta, mempunyai hasil sebanyak 6%. 
Hartanah itu, yang merupakan sebahagian daripada The Intermark, yang juga merangkumi Vista Tower, Double Tree by Hilton dan Intermark Mall, terletak di persimpangan Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur. 
The Star berkata KWAP juga mempunyai enam hartanah di Australia dan tiga di London lapor The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails