Tuesday, May 5, 2015

Kritik GST dianggap menghasut?


Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata polis memberitahunya, perbuatan mengkritik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dianggap menghasut.

Bercakap di Permatang Pauh malam tadi, beliau yang ditahan polis berhubung penyertaannya dalam himpunan Hari Pekerja membantah GST berkata,polis memberitahunya, kandungan ucapannya yang mengkritik GST semasa himpunan 1 Mei itu dianggap menghasut.

"Polis beritahu saya, saya disiasat mengikut Akta Hasutan kerana ucapan saya mengkritik GST. Sekarang baru saya tahu, kutuk GST ini menghasut, kalau ikut kerajaan Malaysia," katanya.

Cukai penggunaan itu menjadi fokus kempen PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Permatang Pauh yang sedang berlangsung ketika ini.

PKR mengambil kesempatan daripada rasa tidak puas hati orang ramai terhadap cukai itu dalam usahanya mempertahankan kerusi itu, yang ditandingi presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebagai sebahagian daripada kempennya, beliau membeli-belah di sebuah pasar raya, dengan diiringi media, bagi menunjukkan berapa banyak yang rakyat terpaksa bayar lebih untuk cukai itu apabila membeli barang keperluan asas.

PKR juga mengadakan majlis memanggang udang kara, menghidangkan kepada pejalan kaki di kawasan itu, mempersendakan pelaksanaan cukai itu yang tidak dikenakan ke atas udang itu, yang dianggap makanan orang kaya.

Rafizi berkata beliau dimaklumkan polis yang mengkritik perdana menteri juga dianggap menghasut.

"Kedua, ucapan saya katanya, banyak kritik perdana menteri. Itu pun dah tak boleh sekarang. Itu pun kira menghasut.

"Dan, banyak ucapan dan laungan 'Hidup Rakyat'. Lepas ini kena jerit mampus rakyat baru Umno suka," katanya kepada hadirin di tapak ekspo Seberang Jaya dalam siri kempen menjelang hari mengundi Khamis ini.

Ceramah beliau selebihnya malam tadi penuh dengan sindiran kerana beliau memuji GST dan mengatakan perkara yang positif saja mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan dana pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Naib presiden PKR itu juga menyindir PRK Permatang Pauh itu diadakan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim "bercuti" di penjara Sungai Buloh.

Ketua pembangkang itu terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen itu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan liwat terhadapnya dan hukuman 5 tahun penjara pada Februari.

"Sebab itu saya berazam untuk sepanjang PRK ini ucapan saya semua baik-baik dan memuji Najib dan Rosmah. Tak ada dah saya nak kacau Najib dan kutuk GST. Saya akan puji betul-betul," katanya sinis.

"Kalau saya cakap macam ni, saya tak akan kena tangkap, kan?," soal ahli Parlimen Pandan itu, sambil menambah, pada saat-saat begini, senang untuk seseorang ditangkap polis.

Rafizi ditahan pada 2 Mei, ketika beliau hadir di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur untuk memberi keterangan mengenai penglibatannya dalam himpunan itu, yang menarik kira-kira 10,000 orang bersesak di tengah-tengah ibu kota.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menyalahi undang-undang perhimpunan dan Akta Hasutan. Beliau dibebaskan pada malam hari yang sama.

Selain Rafizi, pemimpin pembangkang lain yang turut ditahan berhubung himpunan itu termasuk Ahli Parlimen Batu daripada PKR Chua Tian Chang atau Tian Chua, Ahli Parlimen Kuala Kerai (PAS) Dr Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Seremban (DAP) Anthony Loke, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S Arutchelvan.

Beberapa aktivis juga ditangkap, termasuk penaung Negara-Ku dan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan lapor The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails