Thursday, May 14, 2015

Bekas MB dedahkan, Putrajaya belanja hingga RM1Billion untuk Monsoon Cup yang merugikan..


Dalam pendedahan terbarunya, Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendedahkan wang rakyat telah digunakan bagi menjayakan Monsoon Cup.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal menyifatkan perbuatan itu sebagai mengkhianati rakyat Terengganu.

Katanya, projek Monsoon Cup yang diperkenalkan ketika Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar telah menelan belanja sehingga RM1 bilion bagi memenuhi piawaian pertandingan dengan menyediakan prasarana yang dikehendaki.

Katanya, perbelanjaan itu tidak membawa sebarang keuntungan sebaliknya kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian dengan penganjuran Monsoon Cup walaupun ia diuar-uarkan sebagai sebuah acara yang berprestij.

“Hampir RM1 bilion digunakan untuk membina segala kemudahan untuk persiapan Monsoon Cup. Termasuk menggali kuala Sungai Terengganu yang menelan belanja lebih daripada RM500 juta.

“Membina hotel-hotel, Riyaz yang tidak sempurna yang hari ini kita tanggung pembaikiannya begitu besar. Hampir RM 1 bilion keseluruhannya (projek Monsoon Cup). Tapi akhirnya projek ini dialihkan ke Johor,” katanya.

Ahmad berkata, beliau terpaksa menghadapi risiko apabila menentang perkara itu kerana merasakan seolah-olah Terengganu sentiasa dianaktirikan.

Ahmad mendedahkan perkara itu dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu ketika membahaskan Titah Ucapan Perasmian Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Pendedahan Ahmad dilaporkan dalam blog ADUN Pas Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah.

Berikut adalah laporan tersebut...

Projek Monsoon Cup ialah hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan kerjasama Menteri Pendidikan 2 Dato’ Sri Idris Jusoh ketika itu menjadi Menteri besar Terengganu selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke 11. 
Akan tetapi malang bagi rakyat Terengganu kerana terpaksa mengorbankan wang mereka tanpa sedar akan kerugian yang ditanggung kerana penganjuran itu, walaupun diwar-warkan akan betapa gahnya pertandingan itu. 
Hal ini telah dimaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri Terengganu oleh wakil Kijal ketika membahaskan Titah Ucapan Perasmian Tuanku Sultan Terengganu semalam. 
Dato’ Sri Ahmad Said yang mendedahkan perkara itu berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan sehingga satu billion ringgit bagi memenuhi piawaian pertandingan dengan menyediakan prasarana-prasarana yang dikehendaki. 
Beliau tanpa ragu-ragu menyatakan pendapatnya bahawa kerajaan pusat telah mengkhianati rakyat Terengganu dengan projek Monsoon Cup ini yang telah menelan wang rakyat dengan banyaknya. 
“Mengenai Monsoon Cup, ini soal integriti. Sebab itu bagi saya, seolah-olah kerajaan pusat mengkhianati rakyat negeri Terengganu. 
Kerana hampir satu billion ringgit digunakan oleh kerajaan pusat untuk membina segala kemudahan untuk persiapan Monsoon Cup. Termasuk menggali kuala Sungai Terengganu lebih daripada RM500 juta. 
Membina hotel-hotel, Riyaz yang tidak sempurna yang hari ini kita tanggung pembaikiannya begitu besar. Hampir satu billion keseluruhannya (projek Monsoon Cup). Tapi akhirnya projek ini dialihkan ke Johor,” dedah beliau. 
Tambah beliau lagi, walaupun mengetahui Monsoon Cup itu sendiri tidak menguntungkan, tetapi sekurang-kurangnya ada juga acara besar yang dilangsungkan di negeri Terengganu. 
Sambil mendakwa seolah-olah Terengganu sentiasa dianaktirikan, beliau meluahkan perasaan kecewanya kerana apabila beliau menentang, beliau terpaksa menghadapi risiko. 
Projek Monsoon Cup itu juga pernah dikaitkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan orang yang rapat dengan Tun Abdullah iaitu Patrick Lim atau Patrick Badawi. 
Mengulas tentang pendedahan ini, wakil Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, apa yang dibimbangi oleh PAS, hari ini menunjukkan kebenarannya, tetapi sayang, wang itu sudah tenggelam ditelan golongan yang tidak bertanggungjawab. 
“PAS sudah banyak kali mengutarakan penentangan terhadap projek yang jelas membazir ini, tetapi suara kita tidak kuat dan kuasa di tangan mereka untuk membuat keputusan. 
Saya menyeru kepada rakyat sekelian terutama orang Umno supaya memandang pendedahan bekas orang nombor satu Umno di Terengganu ini sebagai petanda Umno tidak boleh diharap memegang kuasa. 
Oleh itu satu sikap yang tegas perlu diambil oleh ahli-ahli Umno bagi menolak kepimpinan seperti ini pada PRU 14 nanti,” jelas beliau. 
Sidang DUN Terengganu bagi Penggal Ketiga dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula Selasa 12 Mei sehingga Khamis 14 Mei ini.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails