Thursday, May 14, 2015

Azeez diminta letak jawatan Pengerusi Tabung Haji oleh UMNO Bahagian


KREDIBILITI Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim selaku Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) sudah tercalar dan sewajarnya beliau meletakkan jawatan.

Desakan tersebut disuarakan oleh Setiausaha UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah berikutan kontroversi pembelian tanah di tapak Tun Razak Exchange (TRX) oleh TH daripada 1MDB dengan nilai RM188.5juta.

Beliau berkata, walaupun TH kemudiannya telah menjual semula tanah berkenaan berikutan kemarahan rakyat tetapi kedudukan Abdul Azeez selaku Pengerusi TH masih dipersoalkan.

“Dari segi kredibiliti, ianya sudah tercemar apabila pada mulanya beliau menafikan berhubung pembelian tanah tersebut oleh TH,” katanya.

“Saya selaku ahli UMNO, rakyat biasa meminta Perdana Menteri melucutkan jawatan Abdul Azeez selaku Pengerusi TH kerana kenyataan dan tindak-tanduk beliau telah mencetuskan kegelisahan pendeposit TH.

Beliau mempersoalkan bagaimana seorang pengerusi di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) boleh mengeluarkan kenyataan tidak tahu berhubung pembelian tanah berkenaan oleh TH daripada 1MDB.

“Ini bukan melibatkan urusniaga RM100 atau RM1,000. tetapi mencecah ratusan juta ringgit, agak mustahil Pengerusi TH tidak ambil tahu, apatah lagi pendedahannya tersebar luas menerusi media sosial,” tegasnya,.

Lazimnya kata beliau, sebarang urusniaga jutaan ringgit atau apa juga keputusan melibatkan kepentingan umum sesebuah syarikat GLC ianya mesti berada dalam pengetahuan pengerusi.

“Tetapi amat menyedihkan, Pengerusi TH boleh menafikan soal pembelian tanah raturan juta ringgit oleh TH daripada 1MDB, ini satu jawapan yang boleh dianggap tidak masuk akal,” tegasnya.

Pada 7 Mei lalu, Abdul Azeez melalui laman Twitternya, mengatakan ‘tidak betul’ berhubung dakwaan pembelian tanah milik 1MDB oleh TH.

Bagaimanapun pada 10hb. Mei, Pengerusi TH itu memberikan penjelasan panjang lebar berhubung pembelian tanah tersebut dan akan menjualnya semula kepada syarikat berminat setelah mencetuskan kemarahan rakyat.

“Dalam konteks ini, kita semua Ahli Lembaga Pengarah berbincang dan ada tiga tawaran. Kita beli dahulu RM188.5juta, sekarang ada tiga tawaran,” Abdul Azeez dipetik sebagai berkata dalam penjelasan tersebut.

Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada desakan agar meletakkan jawatan Pengerusi TH yang disandangnya sejak 2013, kerana berpendapat ia bakal mengundang kerugian kepada TH.

Bagaimanapun Syed Mehdhar tetap mempersoalkan kenapa apabila kedaan menjadi meruncing dan banyak pihak menyelar tindakan TH, beliau kemudiannya membuat sidang media khusus untuk menjelaskan pembelian tersebut.

“Alasannya atas nasihat Perdana Menteri, begitu mudah keputusan dibuat sedangkan rakyat sudah berada dikemuncak kemarahan,” tegasnya.

Menurut beliau, pendeposit TH adalah orang Melayu dan simpanan tersebut bagi membolehkan mereka menunaikan fardhu haji.

Menurut Syed Mehdhar lagi, beliau tidak mempesoalkan apa juga keputusan yang telah dibuat, bagaimana dan kenapa pembelian membabitkan TH itu berlaku tetapi kecewa dengan sikap Pengerusi TH yang mengambil jalan mudah dengan menafikan urusniaga tersebut setelah didedahkan oleh beberapa laman sosial.

“Saya selaku Setiausaha UMNO Bahagian dan ahli-ahli parti berhak tahu dan berhak bercakap soal tersebut, ini melibatkan simpanan umat Islam, mengapa begitu mudah menghakiskan keyakinan rakyat,” soal beliau.

Katanya, kredibiliti Abdul Azeez yang sudah tercalar itu juga sedikit sebanyak akan terpalit kepada UMNO yang merupakan parti yang menjadi tonggak kerajaan yang memerintah.

“Apabila orang Melayu marahkan TH, marahkan pengerusinya, secara tidak langsung mereka juga marahkan UMNO, mereka lemparkan tuduhan bukan-bukan kepada parti, inilah penyakit yang kita terpaksa tanggung akibat sikap berdolak-dalik,” tegasnya.

Katanya lagi, jika Abdul Azeez seorang pemimpin yang memikul amanah dan tanggungjawab rakyat sepatutnya beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi TH.

“Kita tidak perlu bercerita bagaimana TH bayar dividen, bagaimana pengurusan haji dibuat oleh TH, tetapi kita bercerita soal prinsip dan kredibilti,” tegasnya lagi ~ UMNO Bahagian Cheras


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails