Wednesday, April 8, 2015

POTA dilulus: Wahai MP PR.. Awak kat mana?


Pensyarah Universiti Malaya Dr Azmi Sharom semalam mempersendakan Pakatan Rakyat (PR) dengan mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana membenarkan undang-undang kontroversi Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) diluluskan di Parlimen awal pagi semalam.

Azmi, yang didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 tahun lepas, sebenarnya marah terhadap pakatan pembangkang itu, yang tewas dengan hanya 19 undi pada persidangan Dewan Rakyat di mana mereka menentang undang-undang baharu itu, yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

"Mari kita berikan tepukan yang gemuruh untuk ahli Parlimen PR yang Tuhan saja tahu di mana mereka, ketika mereka sepatutnya mengundi menentang Pota. Terima kasih banyak.

"Anda di mana? Anda sepatutnya boleh menewaskan undang-undang itu sebab anda pun tahu di mana biasanya rakan BN anda pada jam 2 pagi. Anda sepatutnya berada di sana untuk menewaskan undang-undang itu.

"Saya marah sangat, menyebabkan saya sekarang menjadi sangat tidak sederhana," katanya, mengundang ketawa daripada kira-kira 150 hadirin pada forum yang membincangkan mengenai kesederhanaan bertajuk "What is a Moderate Malaysia for Malaysians?" di Kuala Lumpur, malam tadi.

Rang undang-undang Pota diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada kira-kira jam 2.25 pagi Selasa, selepas dibahaskan hampir 14 jam.

Terdahulu, undian belah bahagian yang terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju meluluskan dan 60 tidak bersetuju.

PR memenangi 89 kerusi dalam pilihan raya umum lalu tetapi kini mempunyai 86 ahli Parlimen selepas pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, DAP kalah dalam pilihan raya kecil Teluk Intan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan kesalahan.

Azmi, mengecam keras kedua-dua pihak, ahli Parlimen PR dan Barisan Nasional (BN) dan berkata kepimpinan negara ini "sama sekali tidak berguna".

"Kepimpinan benar-benar, sama sekali tidak berguna. Dan bila saya kata kepimpinan, saya maksudkan semua mereka, BN dan PR,” katanya.

Memberi amaran terhadap Pota, beliau berkata, undang-undang baharu itu sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan, pendirian yang dikongsi ahli Parlimen pembangkang yang bimbang ia mungkin digunakan ke atas mereka.

"Mereka katakan perkara sama waktu itu... yang ISA hanya untuk pemberontak dan pengganas... yang ia tidak akan digunakan terhadap ahli politik.

"Tetapi tidak lama selepas itu pembangkang dikenakan tindakan. Begitulah bagaimana teruknya ia. Kita mundur jauh ke belakang," katanya.

Enggan dilabel sebagai seorang yang "sederhana", Azmi berkata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, yang terkenal dengan pandangan melampau dan supremasi itu juga menganggap dirinya seorang sederhana.

"Ia memberi tanggapan yang kita orang yang waras... yang kita, bagaimanapun, boleh mengambil jalan tengah. Tetapi masa itu sudah berlalu pergi,” katanya.

Pensyarah undang-undang itu berkata, daripada segi peningkatan ekstremisme di negara ini, ia bukan saja tentang mereka yang menyemai kebencian tetapi mereka yang dibekalkan dengan suasana untuk meningkatkan kebencian.

"Dan ini bukan perkara baru. Bukan semuanya salah Najib dan Rosmah," katanya merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

"Ia berlaku selama bertahun-tahun. Tun Dr Mahathir (Mohamad), perdana menteri paling sempurna di dunia, yang meletakkan kita dalam kedudukan di mana kita tidak lagi percaya kepada institusi kita. Institusi yang paling kita sudah tidak percaya ialah institusi kehakiman," katanya lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails