Monday, April 13, 2015

PKR diminta jangan terlalu yakin akan menang di Permatang Pauh.. peluang 50:50..


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh kali ini adalah pertandingan sengit antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyifatkan peluang parti itu bertanding kali ini adalah 50:50 dan sehubungan itu beliau menasihatkan parti gabungan, PKR agar tidak terlalu yakin untuk menang. 

"Saya akan berikan nasihat kepada rakan-rakan di PKR untuk tidak terlalu yakin akan menang. Kami anggap ini adalah satu pertandingan 50:50," katanya kepada pemberita di George Town, Isnin.

Lim berkata Pakatan Rakyat akan melancarkan jentera pilihan raya bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh itu malam Selasa.

"Kita lihat nampaknya BN mula awal...saya rasa itu cabaran dan kita akan berikan sokongan (kepada PKR) untuk hadapi cabaran daripada BN," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandang kerusi Parlimen itu Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi pengampunan diraja yang dipohon keluarganya atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April ini hari penamaan calon manakala hari pengundian 7 Mei. Pengundian awal 3 Mei ~ MalaysiaGazette


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails