Tuesday, April 7, 2015

Pesanan buat Ku Nan dari seorang bekas pemimpin UMNO.. jangan jadi 'Kaki Bodek' katanya..


Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tengku Adnan Tengku Mansor diminta tidak menjadi ‘pembodek’ dengan menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Perkara itu ditegaskan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam satu kenyataan media hari ini.

“Kenyataan beliau (Tengku Adnan) yang menyatakan Datuk Seri Najib tidak perlu menjawab pertanyaan Tun Mahathir kerana telahpun menjawabnya sebagai satu kenyataan mengampu yang tidak boleh diterima akal fikiran yang waras,” ujar Khairuddin.

Khairuddin menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan Tun Mahathir yang mewakili persoalan rakyat tidak dijawab secara ilmiah dan berasas.

“Lihat saja pada semua persoalan saya mengenai 1MDB selama ini. Mereka tidak pernah jawab tetapi hanya memutar belit dan mengelirukan saja demi menegakkan benang yang basah,” ujar Khairuddin.

Beliau juga menyatakan sokongan kepada saranan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa Najib mesti menjawab semua persoalan yang diajukan oleh Mahathir agar segala-galanya menjadi lebih jelas pada rakyat.

Tambah beliau, jawapan kepada persoalan itu semua penting jika hendak menghakis masalah persepsi dalam kalangan akar umbi terhadap kepimpinan masa kini.

“Saya rasakan Majlis Tertinggi UMNO harus panggil satu mesyuarat khas untuk bincangkan isu ini dan mesti mengambil satu keputusan atau pendekatan untuk menjawab semua pertanyaan-pertanyaan Tun Mahathir,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, Najib diminta supaya tidak terlalu bergantung kepada input politik daripada golongan parasit parti yang hanya mahu mengambil kesempatan dan menjaga kedudukan semata-mata.

Khairuddin juga mengingatkan Najib agar jangan terlalu yakin bahawa 'silence majority' dalam kalangan pengundi menyokong kuat kepimpinan masa kini.

“Saya amat tidak yakin langsung dengan kenyataan PM ini. Saya harap UMNO dan kaki-kaki bodek untuk jalankan pengauditan luaran mengenai pendirian mahupun persepsi rakyat terhadap kepimpinan negara buat masa ini.

“Apa yang merisaukan ialah kita bakal hadapi enam juta pengundi muda baharu pada PRU tahun 2018 kelak.

“Seandainya satu daya usaha yang komprehensif tidak disusun atur untuk memenangi hati nurani mereka, maka yakinilah BN bakal kecundang dlm PRU ke 14 nanti,” tegas Khairuddin lapor AstroAwani

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails