Monday, April 6, 2015

Peguam Sirul pulak kantoikan KPN..


Peguam kepada Korperal Sirul Azhar Umar yang didapati bersalah kerana membunuh Altantuya Shaariibuu dan seorang pemimpin pembangkang mempertikaikan dakwaan polis kononnya mereka mengadakan pertemuan dengan bekas komando itu bagi membincangkan mengenai siasatan susulan terhadap tuduhan membunuh warga Mongolia itu.

Peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul semasa perbicaraan itu berkata peguam Malaysia dan Australia menasihatkan Sirul supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada sesiapa sementara menunggu keputusan kes ekstradisi.

"Dia berada di bawah arahan ketat peguam di sini dan Australia supaya tidak membuat sebarang temu ramah sehingga mendapat pelupusan permohonan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk menghantar balik," kata Kamarul.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar pula berkeras dengan mengatakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berbohong ketika menyatakan yang polis ada bertemu Sirul.

Kamarul berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan Sirul adalah di pusat tahanan imigresen Villawood di Sydney pada pertengahan Februari lalu.

"Ia dakwaan palsu kepada sesiapa saja yang mengatakan pernah bertemu dengan Sirul malah sebagai anak guam kami sangat sedar sebarang temu ramah akan menjejaskan statusnya di sana," kata Kamarul merujuk kepada kenyataan Khalid terdapat seseorang bertemu dengan Sirul.

Difahamkan terdapat 2 kumpulan peguam Australia dilantik untuk berunding berhubung soal imigresen dan masalah ekstradisi ini.

Kamarul juga mendedahkan Pejabat Peguam Negara masih belum memulakan permohonan ekstradisi dengan Canberra, walaupun bekas anggota polis itu ditangkap pada 22 Januari lalu.

Minggu lepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses ekstradisi Sirul ditangguhkan kerana ia melibatkan "isu undang-undang yang rumit".

Mahfuz yang terus menghubungi bekas komando polis itu berkata, Sirul tidak pernah menyebutkan pernah disoal siasat polis sejak dia melarikan diri ke Australia, dan ini sekali gus bertentangan dengan dakwaan Khalid.

"Hanya 3 hari lalu, sebelum dia ditemu ramah Malaysiakini berhubung perkara itu, Sirul memberitahu saya yang tiada anggota polis datang menemui dia dan mendengar cerita daripadanya," kata Mahfuz.

"Saya fikir ia sangat memalukan apabila ketua polis negara boleh membuat kenyataan yang hanya merosakkan kredibilitinya. Beliau sebenarnya tertekan untuk membuat maklum balas terhadap ulasan Tun (Dr Mahathir Mohamad), maka beliau terpaksa berbohong kepada seluruh rakyat," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, beliau juga melihat tiada sebarang tanda atau petunjuk dalam misi khas ke Australia bulan lepas mengenai polis akan mengadakan lawatan untuk bertemu Sirul. 

Mahfuz berkata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Noor juga melepaskan tanggungjawab itu kepada ketua polis negara apabila pemberita bertanya kepadanya mengenai perkara itu.

"Apabila mereka meminta timbalan ketua polis negara mengenai perkara itu, beliau berkata, 'tanya ketua polis negara'. Sudah tentu timbalan akan tahu jika benar polis mengadakan menyoal siasat Sirul di Australia.

"Tindakan KPN ini memalukan pasukan polis keseluruhannya dan boleh menjejaskan hubungan antara Malaysia dan Australia," kata Mahfuz.

Pada Sabtu lalu, Sirul memberitahu portal berita Malaysiakini ketua polis negara berbohong selepas apabila mengatakan terdapat beberapa pegawai dihantar ke Australia untuk menyoal siasatnya. 

Namun, Khalid pada Sabtu menegaskan berkata benar dan tidak ada sebab untuk mengelirukan orang ramai serta masyarakat Malaysia berhubung perkara itu.

Beliau berkata, Sirul sekarang berada dalam keadaan terdesak untuk menyelamatkan dirinya.

"Dia melakukan yang terbaik untuk tidak pulang ke Malaysia di mana dia akan dijatuhkan hukuman mati," kata Khalid dalam satu kenyataan, sambil menambah Sirul melakukan yang terbaik untuk membawa nama buruk dan menimbulkan keraguan ke atas siasatan kes pembunuhan itu, penglibatannya dan sistem keadilan jenayah.

"Daripada apa yang kita kumpulkan mengenai pertuduhannya setakat ini, ia tidak memberikan petunjuk baru yang akan membebaskan dia berhubung perkara itu. Oleh itu, kami mengalu-alukan cabarannya untuk membuka rahsia, jika dia ada,” kata Khalid.

Kes pembunuhan Altantuya muncul semula pada mata masyarakat selepas Dr Mahathir membangkitkan isu yang berkaitan pembunuhan itu dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam serangan terbaru terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menyangkal dakwaan kenyataan Dr Mahathir itu, mengenai tiada siasatan dijalankan ke atas dakwaan yang dibuat Sirul, Khalid berkata polis pada Jumaat ada bertemu dengan pelarian di Australia itu dan menyimpulkan tidak ada isu yang memerlukan siasatan lanjut.

Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu menjatuhkan hukuman kepada Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Sirul kerana membunuh wanita berusia 28 tahun itu pada 2006.

Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ketika keputusan itu dibacakan dan satu laporan berita mengesahkannya sudah berlepas ke Australia pada Oktober lalu.

Keterangan di mahkamah mendedahkan Altantuya, seorang penterjemah dari Mongolia dibunuh sebelum mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan C4 di pinggir Shah Alam, berhampiran Kuala Lumpur.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda merupakan seorang daripada orang kepercayaan Najib yang didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul tetapi dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 2008 tanpa dipanggil untuk membela diri.

Kerajaan juga tidak merayu mengenai pembebasannya.

Walaupun hukuman itu tetap dijalankan, motif pembunuhan Altantuya tidak pernah didedahkan lapor The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails