Tuesday, April 28, 2015

Najib jawab kritikan Mahathir ke nih?


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tidak akan berganjak atau menyerah kalah walaupun diasak dan dikritik.

Katanya beliau akan tetap istiqamah berjuang demi rakyat sebagai sebuah kerajaan yang telus bersama timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, jemaah menteri dan anggota pentadbiran.

Memetik seruan hikmat Bugis, beliau berkata apabila perahu dikayuh ke tengah, ia tidak boleh “bersurut pulang”.

“...meskipun bagaimana besar gelombang yang melanda, biarpun kemudi patah, biarpun layar robek, biarpun seribu kapal tenggelam di tengah lautan, ia lebih mulia bagi kita tegap teguh berjuang daripada membalik haluan pulang,” katanya.

Beliau menyampaikan ucapan sempena pelancaran Laporan Tahunan 2014 untuk Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Kata-katanya itu secara tidak langsung menjawab kritikan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menuntut agar beliau meletak jawatan.

Mahathir sebelum ini antara lainnya membangkitkan mengenai motif kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pentadbiran dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Turut dibangkitkan Mahathir ialah langkah pembayaran wang tunai kepada golongan kurang berkemampuan melalui skim Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Menurut Mahathir, walau dengan bayaran tersebut, Najib tetap mencatatkan prestasi buruk semasa pilihan raya umum 2013.

Menjawab isu BR1M, Najib seterusnya memperagakan seorang warga kurang berkemampuan di atas pentas, yang diterbangkannya khas dari Betong Sarawak.

“Beliau adalah seorang ibu tunggal yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dan mempunyai 4 orang anak yang berusia di antara 11 hingga 20 tahun.

“Di sini, sebagai seorang pemimpin, suka saya menyatakan, sesiapa sahaja boleh mengatakan apa saja yang mereka suka dan fikirkan.

“Namun bagi individu rakyat seperti Puan Dayah ini, Bantuan Rakyat 1Malaysia, betul-betul dapat membantu meringankan beban yang ditanggung bagi kos persekolahan anak-anaknya,” kata Najib.

Seramai dua orang anak wanita tersebut turut ditunjukkan di atas pentas dalam siaran langsung melalui RTM itu.

Menurut Najib lagi, skim bantuan seperti itu berjaya dilaksanakan di negara seperti United Kingdom dan Indonesia.

Skim itu juga hanyalah langkah sementara, kata Najib yang menegaskan bahawa ia mampu meringankan beban golongan sasaran – seramai tujuh juta isi rumah lapor Malaysiakini


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails