Saturday, April 18, 2015

Mahathir dedah sebab beliau menyerang Najib..


Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa Umno menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengulangi niatnya untuk menyelamatkan Umno daripada kalah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ia merupakan 2 daripada "pilihan" yang diberikan bekas perdana menteri itu kepada Umno, susulan kritikan beliau kepada Najib selama ini.

"Kita berdepan dengan pilihan-pilihan ini.

"Sama ada kamu singkirkan perdana menteri yang gagal dan akan memimpin Umno untuk tewas dalam PRU akan datang.

"Atau kamu ambil peluang yang jika beliau disingkirkan, kita mungkin mampu selamatkan Umno," katanya pada sidang media selepas forum jenayah perang di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu ditanya sama ada perselisihan faham di antara beliau dan Najib yang menjadi tumpuan ramai mutakhir ini akan memecah belahkan Umno.

Kenyataan terbaru Dr Mahathir ini menandakan bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu tidak lagi berlapik dalam menghamburkan asakan demi asakan kepada Najib.

Pada sidang media sama, Dr Mahathir turut menyifatkan Najib tidak layak menjadi perdana menteri kerana gagal menjelaskan lokasi dana kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kenyataan itu dilontar Dr Mahathir di sebalik ungkapan sinisnya yang beliau bersimpati dengan Najib berhubung isu jambatan bengkok menghubungkan Johor Baru dan Singapura yang tidak diteruskan.

"Saya tak akan sarankan penyingkiran seorang perdana menteri semata-mata kerana beliau takutkan Singapura untuk membina jambatan.

"Saya simpati dengannya kerana beliau sangat lemah, jadi beliau tidak boleh bina jambatan...

"Kerana itu, saya maafkan dia. Tetapi apabila kamu menghilangkan wang dan tidak boleh jelaskan ke mana perginya wang itu, saya rasa kamu tidak layak jadi perdana menteri," kata Dr Mahathir.

Kenyataan terkini Dr Mahathir ini juga menandakan perseteruan di antara beliau dan Najib memasuki fasa baru apabila gesaan agar Umno menjatuhkan Najib dibuatnya secara terbuka.

Sebelum ini, kritikan Dr Mahathir ditumpukan kepada prestasi Najib - yang antara lain menurutnya terbukti gagal sewaktu mengetuai Barisan Nasional (BN) Selangor pada PRU lalu.

Dr Mahathir berkata, Najib kerap kali tidak menjawab soalan berkenaan pengurusan wang negara yang diajukannya.

Tekanan ke atas Najib juga turut meningkat apabila Dr Mahathir mula campur tangan dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu yang dilakukan dua bekas polis yang pernah bertugas mengiringi Najib.

Dr Mahathir bertemu dengan ibu salah seorang polis tersebut, Sirul Azhar Umar, yang dihukum gantung tetapi kini berada di Australia untuk berlindung daripada hukuman itu.

Beliau dilaporkan akan ke Australia untuk bertemu Sirul selepas ini dan mendapat maklumat tambahan berkenaan pembunuhan yang didakwa bekas anggota Unit Tindakan Khas itu, dilakukan "menurut arahan".

Sementara itu, mengulas perkara berbeza, Dr Mahathir sekadar menjawab "tidak tahu" apabila ditanya wartawan tentang cadangan agar beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah membentuk pasukan memimpin Malaysia dan menyingkirkan Najib daripada terus menjadi perdana menteri.

Cadangan itu diajukan bekas menteri yang bertanggungjawab hal ehwal undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim dalam blognya lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails