Thursday, April 16, 2015

Laluan sukar buat PKR di Permatang Pauh...


Pas Kawasan Permatang Pauh mengingatkan PKR agar tidak meletakkan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon di PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Ketua Penerangan Pas Permatang Pauh, Jamsari Samad berkata, pihaknya berpandangan PKR bakal melalui laluan sukar sekiranya meletakkan Presiden PKR itu sebagai calon.

“Kami bekerja bertemu rakyat, apabila ada suara-suara yang kononnya PKR akan meletakkan Wan Azizah sebagai calon, mereka tidak setuju.

“Wan Azizah juga pernah mengeluarkan kenyataan yang beliau tolak hudud sebelum ini, kena faham situasi di Permatang Pauh, di sini banyak madrasah serta sekolah agama, ramai cerdik pandai agama di sini, dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Wan Azizah menyebabkan mereka tidak mahu Wan Azizah menjadi calon,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Selain itu, katanya, Wan Azizah juga pernah mengeluarkan kenyataan yang beliau berhasrat menumpukan perhatian kepada keluarga.

“Kita di pihak Pas Permatang Pauh tidak ada masalah dengan beliau, beliau juga sebelum ini pernah keluarkan kenyataan bahawa nak fokus kepada keluarga, jadi beliau kenalah tunaikan janjinya itu. 

“Pas Permatang Pauh mempunyai 30 cawangan di bawahnya, setiap cawangan ada peranan masing-masing, kita bertemu rakyat dan apabila ini yang rakyat sampaikan, kita kena beritahu kepada mereka," katanya.

Bagaimanapun Jamsari berkata, sekiranya PKR meletakkan Wan Azizah sebagai calon, pihaknya tetap akan bantu kempen.

“Setakat ini perbincangan dengan pihak PKR di peringkat cabang belum lagi diadakan, kalau ada boleh kita suarakan mengenai perkara ini,” katanya.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails