Sunday, April 5, 2015

Jenazah bapa Anwar Ibrahim selamat dikebumi..


Jenazah bapa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal, Kajang, pada 2.35 petang hari ini.

Jenazah Datuk Ibrahim Abd Rahman dikebumikan selepas solat Zohor.

Anwar dilihat menaiki kereta berpacuan 4 roda bersama beberapa orang pegawai penjara yang mengekori van jenazah ke tanah perkuburan.

Menurut menantunya, Jamil Abdullah, Ibrahim terlantar sakit lebih daripada 5 tahun lalu dan dibawa ke Hospital Serdang pada Sabtu kerana mengalami sesak nafas.

Laporan sebelumnya..


Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri pengebumian bapanya di Country Heights, Kajang, selepas diberi kebenaran oleh Jabatan Penjara.

Beliau disambut anak perempuannya, Nurul Nuha setibanya di rumah pada 10.40 pagi bersama pegawai Penjara Sungai Buloh.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata jabatan penjara memberi izin untuk menziarahi jenazah Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang meninggal dunia pada pukul 1.45 pagi hari ini.

“Anwar InsyaAllah akan diberi keizinan oleh penjara jam 11 pagi ini untuk ziarah Allahyarham ayahanda DSAI di Kajang,” tulis Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR di akaun Facebooknya.

Menurut salah seorang ahli keluarganya, Ibrahim meninggal dunia disebabkan sakit tua. Beliau berusia 96 tahun.

Antara yang turut hadir menziarahi jenazah Ibrahim hari ini ialah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, peguam Latheefa Koya serta bekas Naib Presiden PKR N Surendran.

Ibrahim merupakan ahli Parlimen Seberang Perai Tengah dari 1959 hingga 1969. Beliau juga pernah menjawat jawatan setiausaha Parlimen.

Jenazah tiba di tanah perkuburan pada 2.30 petang dan dikebumikan pada 2.35 petang.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lepas menolak rayuan akhir beliau terhadap kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008 ~ The Malaysian Insider


.... Al Fatihah buat Allahyarham..

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails