Thursday, April 23, 2015

Inilah kenyataan dari Ibrahim Ali yang paling rasional abad ini..


Datuk Ibrahim Ali mempersoalkan tindakan penduduk Taman Medan, Petaling Jaya yang mendesak salib diturunkan dan bukannya membantah gereja yang dilaporkan beroperasi tanpa permit sejak Ogos lalu.

Presiden Perkasa itu berkata, tiada masalah bagi penganut Kristian untuk mempamerkan salib kerana ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan beragama.

“Bagi Perkasa, saya tiada masalah. Kalau isu semata-mata kerana salib, saya tak setuju. Kalau orang faham saya, saya bukan macam yang orang tuduh.

“Dalam konteks salib, tiada undang-undang mengatakan salib tidak boleh diletakkan di batang pokok kelapa atau di kedai.

“Penduduk protes salib. Oleh kerana itu, saya tak setuju dengan penduduk ini. Kalau mereka protes premis tak ada permit, itu boleh,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ibrahim berkata, dalam kes bantahan salib di kawasan majoriti Melayu-Islam itu, pihak yang terbabit iaitu gereja, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan penduduk setempat yang perlu dipersalahkan.

Katanya, sekiranya pihak gereja dan MBPJ mengambil langkah awal, insiden bantahan penduduk berkenaan dapat dielakkan.

“Pertama, pihak gereja guna rumah kedai untuk rumah ibadat, kedua MBPJ tidak ambil tindakan, ketiga baru kita salahkan mereka yang membantah kerana satu dan dua.

“Jika tiada tindakan pertama dan kedua, maka tiada ketiga. Jika gereja tidak dibuat di rumah kedai atau MBPJ ambil tindakan, tak timbul masalah ini.

“Gereja dan MBPJ terlebih dahulu perlu pelihara sensitiviti agama dan kaum. Kita kena salahkan mereka (MBPJ). Mereka dah tahu tak ada lesen. Kalau tak ada lesen melanggar peraturan, mengapa diam, tak ambil tindakan sebelum ini?” katanya.

Beliau berkata ekoran tiada tindakan awal daripada MBPJ, pihak gereja membuat keputusan untuk meletakkan salib.

Katanya, penduduk Taman Medan seharusnya melakukan bantahan ketika gereja itu mula dibuka, bukannya ketika salib dinaikkan di kawasan itu.

“Maka bila sebelum ini tiada tindakan, mereka naikkan salib. Bila gereja dah berjalan, mereka letak salib, baru orang Islam pergi bertindak, pun tak betul juga.

“Bertindak dari awallah. Dah tahu itu gereja mengapa tak bantah? Mengapa baru bantah bila letak salib? Adakah kerana gereja boleh, yang tak bolehnya salib, begitu?

“Kalau isu wujud gereja tanpa lesen, itu salah. Letak salib itu kebebasan beragama, kebebasan yang dijamin dalam Perlembagaan,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan salib sebaliknya umat Islam perlu mengukuhkan keimanan sendiri.

Katanya, umat Islam selaku kumpulan majoriti di kawasan itu seharusnya lebih berwaspada dan mengimarahkan masjid dan surau.

“Bila mereka tengok wujudnya gereja di kawasan Islam lebih ramai dari Kristian, (dianggap) ada niat tak baik. Sepatutnya orang Islam memakmurkan masjid yang ada di situ. Jaga orang Islam jangan biar murtad.

"Tapi, kita tak jaga jiran kita. Orang Islam sesama kita sendiri yang miskin, kita tak jaga. Bila orang Kristian datang bantu orang miskin, kita marah. Kita sendiri tak jaga.

“Ada duit zakat kita kutip, kita simpan. Jadi, orang Kristian ambil kesempatan. Jadi, kita kena tengok kelemahan kita,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dalam pada itu, Ibrahim melahirkan kebimbangan insiden di Taman Medan itu akan memberi kesan kepada umat Islam yang tinggal di kawasan majoriti bukan Melayu.

Katanya, jika insiden itu tidak dapat dibendung, tidak mustahil hal ehwal ibadah umat Islam juga akan dipertikaikan oleh bukan Islam.

“Bagaimana pula di kawasan majoriti bukan Islam? Mereka nak buka surau macam mana? Mereka juga mahu madrasah. Mungkin minoriti nak solat jemaah, maka mereka mahu surau.

“Mereka (bukan Islam) juga akan protes, sebab kawasan itu majoriti bukan Islam,” katanya. 

Mengulas perbezaan pandangan di antara Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ibrahim berkata ia sungguh memalukan.

Katanya, perbezaan berkenaan jelas menampakkan kelemahan Putrajaya walaupun berada dalam satu kementerian yang sama.

“Mereka duduk di satu kementerian tetapi berbeza pendapat, malu kepada budak-budak.

“Kenyataan membabitkan soal keselamatan dan undang-undang, baik dari ketua polis negara, menteri dalam negeri, perdana menteri dan timbalan perdana menteri, perlu diselaraskan betul-betul supaya tidak ada perbezaan ketara.

“Budak Darjah 6 pun boleh ketawa lihat perbezaan pandangan antara pemimpin," katanya sambil menambah, faktor sebegitu yang membuatkan Barisan Nasional (BN) sukar untuk mengekalkan kemenangan dan kekuatan walaupun Pakatan Rakyat dalam masa sama, juga lemah.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju apabila diajukan soalan samada seorang jurucakap kementerian perlu diwujudkan bagi mengelak perkara berkenaan berulang.

“Tak boleh... Di Malaysia, nak cari populariti politik, ialah dengan bercakap. Tak mungkin seorang itu saja bercakap,” katanya.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails