Sunday, April 19, 2015

BN boleh menang mudah di Rompin tapi sukar untuk menang di Permatang Pauh.. Mahathir kata..


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad optimis BN tidak menghadapi masalah untuk terus mempertahan kerusi Parlimen Rompin pada PRK itu 5 Mei depan.

Beliau berkata, ini kerana BN mempunyai sokongan kuat pengundi kawasan itu terhadap kepimpinan bekas Ahli Parlimen Rompin Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis sejak 1990.

"Di Rompin, sokongan BN masih ada...pasti menarik untuk tahu marginnya kali ini," katanya kepada pemberita pada forum antarabangsa 'Mendampingi Golongan Muda Untuk Menjenayahkan Perang dan Mentenagakan Keamanan' di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Semalam, BN menamakan pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin, 62, yang juga bekas timbalan menteri besar Pahang sebagai calonnya bagi PRK Rompin.

Mengenai PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini, Dr Mahathir berkata, BN bakal berdepan laluan sukar untuk merampas kerusi itu kerana penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan kuat di kawasan berkenaan.

"...ia pasti sukar, ada penyokong fanatik di situ. Orang yang tidak hiraukan realiti, tentang kebenaran, mereka sokong secara membabi buta," katanya.

Anwar merupakan Anggota Parlimen Permatang Pauh bagi BN dari 1982 hingga 1999 sebelum dijatuhi hukuman penjara pada 14 April 1999.

Kerusi itu kemudian dimenangi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum ke-10 pada November 1999.

Dr Wan Azizah mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya seterusnya sebelum meletak jawatan pada 31 Julai 2008 untuk memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dalam PRK Permatang Pauh pada Ogos, 2008.

Anwar memenangi semula kerusi itu dengan mengalahkan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi pada PRU13. PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja terhadap Anwar, yang dipohon melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabit meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan lapor Sinar Harian


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails