Wednesday, April 8, 2015

Aidana Baizieva kawan Pilot rupanya...


Misteri wanita warga Krygyztan yang turut terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, di sini Sabtu lalu terungkai apabila polis hari ini mengesahkan bahawa dia merupakan kenalan kepada mendiang Kapten Clifford William Fournier.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, wanita itu dikenal pasti sebagai Aidana Baizieva berusia 25 tahun.

Sehubungan itu, beliau me­negaskan, Aidana tidak mempu­nyai kaitan dengan mangsa-mang­sa lain yang terkorban.

“Jangan kaitkan Aidana Baizieva dengan mangsa lain. Hubu­ngan dia hanya dengan Kapten Fourneir sahaja,” katanya.

Abdul Samah berkata, hasil siasatan yang dilakukan pihak polis menunjukkan tiada bukti bahawa satu-satunya mangsa wanita dalam nahas itu mempunyai hubungan dengan empat mangsa lain.

“Siasatan kita menunjukkan Aidana dan Fournier saling kenal mengenali antara satu sama lain dan juruterbang itu didapati pernah beberapa kali membawa mangsa.

“Kapten Fourneir juga didapati melakukan penerbangan bersama wanita itu ke Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 berdasarkan tiket penerbangan yang ditemukan di rumah mangsa di sebuah apartmen di Pantai Dalam.

“Selain itu kapten itu turut disahkan oleh pengurusan kediaman berkenaan mempunyai akses masuk ke rumah Aidana,” katanya berhampiran lokasi nahas, di sini hari ini.

Identiti Aidana menjadi polemik ramai apabila wanita itu sebelum ini tidak dapat dikenal pasti identiti dan cuba dikaitkan dengan mangsa-mangsa dalam nahas itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang Sabtu lalu, enam individu termasuk Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias terbunuh apabila helikopter AS365N2 Dauphin yang dinaiki terhempas dan terbakar.

Mengulas lanjut, Abdul Samah berkata, identiti wanita terbabit diketahui berdasarkan kenalan kedua-dua mangsa warga asing itu.

“Wanita ini belajar di Universiti Sunway, Universiti Lim Kok Wing dan Kolej Segi pada tahun 2010 hingga tamat belajar pada Oktober 2014 dalam jurusan Diploma Pelancongan.

“Mangsa juga difahamkan seorang yang amat meminati dunia penerbangan,” jelasnya yang me­ngatakan hubungan sebenar Aidena-Fournier masih dalam siasatan lanjut.

Tambah Abdul Samah, walaupun telah berpuas hati dengan siasatan identiti Aidana namun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mang­sa masih belum selesai meskipun kakak tirinya hadir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.

“Kita turut ke rumah mangsa untuk mencari bukti DNA dan jika masih belum selesai, pilihan ter­akhir adalah mencari bapanya yang berusia 75 tahun di Krygyzstan,” katanya.

Ujar Abdul Samah, pihaknya berharap orang ramai menghormati mangsa yang terkorban de­ngan tidak membuat spekulasi dan segala siasatan kini di tangan polis serta Biro Siasatan Kemala­ngan Udara lapor Utusan


..... Hmm.. helikopter sewa khas, bawa VVIP.. boleh pulak Pilot bawa kawan?


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails