Monday, April 20, 2015

ADUN Taman Medan dakwa 'Turun Salib' kerja Ahli UMNO


Insiden sekumpulan ahli Umno PJS mengugut pihak gereja agar menurunkan salib pada bangunan gereja suatu tindakan bermotif politik.

Saya merasa terpanggil untuk menjelaskan situasi tersebut memandangkan tindakan ahli Umno PJS itu telah menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam dan umat Islam khususnya.

Umno sekali lagi menggunakan Islam untuk agenda politik sempit dan perkauman mereka.

Insiden gereja di Taman Medan ini sarat dengan motif politik. Salah seorang demonstran Munaliza Hamzah merupakan calon Umno/BN di N33 Taman Medan pada PRU 12 melawan saya. Beliau kalah pada saya.

Seorang lagi demostran, Datuk Abdullah Abu Bakar yang mengaku dirinya sebagai Ketua Kampung, jelas sudah berbohong kerana tidak wujud kampung di Taman Medan. Beliau juga salah seorang Ketua Cawangan Umno di PJS.

Bila disiasat, individu-individu lain yang hadir juga mempunyai kaitan dengan Umno PJS, sama ada pernah/masih memegang jawatan di bahagian/cawangan, Pemuda dan Wanita.

Tindakan keji mereka telah menghina umat Islam khususnya di Taman Medan. Mereka beranggapan aqidah umat Islam sungguh rapuh, hanya dengan ada gereja di kawasan dan menggantung salib akan membuatkan penduduk Islam berpaling dari Islam.

Malah, sikap keterlaluan itu telah memberi persepsi negatif terhadap Islam dan muslim. Kini, muslim dilihat sebagai taksub dan ekstrim sehingga menghalang orang bukan Islam mengamalkan agama masing-masing.

Sejak 2008 sehingga kini, pengajian dan kuliah agama di masjid-masjid dan surau-surau sentiasa ada berbanding sebelum itu. Penduduk Islam khususnya sangat gembira dan berpuashati dengan perkembangan ini kerana sebelum itu, sukar diadakan majlis-majlis ilmu kerana didakwa para ustaz adalah dari pembangkang. Kefahaman penduduk Islam tentang Islam juga lebih baik.

Islam mengajar umatnya untuk melayan penganut agama lain dengan baik supaya Islam tidak diserang secara melampau. Surah Al-kaafirun menyatakan dengan jelas, masing-masing dengan agama mereka sendiri dan tidak memaksa ajaran Islam ke atas agama lain.

Saya menasihatkan semua yang terlibat dalam insiden Gereja di Taman Medan untuk kembali kepada penghayatan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad (saw) dan tinggalkan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama.


PUAN HJH HANIZA MOHD. TALHA
ADUN TAMAN MEDAN
20 APRIL 2015


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails