Saturday, April 11, 2015

1MDB, Sokongan terhadap Najib dan Hudud oleh Daim Zainuddin


Rakyat mahu tahu mana pergi duit 1MDB. 1MDB tidak boleh beritahu, kerajaan tidak boleh beritahu. Ini bukan duit sedikit RM10, RM20, ini melibatkan RM42 bilion. Kita mahu dengar apa sebenar yang berlaku.

Ikuti Wawancara eksklusif Malaysia Gazette bersama bekas penasihat ekonomi negara, Tun Daim Zainuddin yang menyentuh pelbagai isu.

Tun dilihat banyak mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pelbagai isu. Sejak memberi teguran sehingga hari ini, adakah Tun melihat sebarang perubahan?

Tun Daim: Saya cuma beri pandangan. Pandangan yang berbeza. Saya tengok dan apabila saya beri pandangan alternatif. Terima atau tidak mahu terima terpulang kepada kerajaan. Tetapi nampaknya tidak ada perubahan. Kita mendapat feed back daripada rakyat yang tidak puas hati dengan banyak perkara. Banyak masalah sekarang ini.

Bagaimana Tun membuat teguran?

Tun Daim: Dengan menulis surat. Saya memang suka menulis surat sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir. Saya tidak mahu orang tahu tentang pandangan saya kepada kerajaan. Nampaknya tidak ada perubahan dalam kerajaan. Kalau tidak ada perubahan, kita khuatir pada pilihan raya akan datang besar kemungkinan Barisan Nasional (BN) kalah. Itu yang kita khuatir. Tetapi kalau kerajaan tidak mahu membuat perubahan apa kita boleh buat, kita boleh beri pandangan sahaja.

Selain menulis surat dan memberi pandangan menerusi media, adakah Tun pernah bersemuka dengan Datuk Seri Najib Tun Razak?

Tun Daim: Dulu keraplah. Sejak selepas pilihan raya saya tidak jumpa. Kali terakhir jumpa semasa majlis buka puasa di rumah saya. Selalu saya tulis surat atau bercakap menerusi telefon.

Surat-surat Tun itu dibalas atau tidak?

Tun Daim: Kadang-kadang dibalas, kadang-kadang dijawab melalui telefon. Perdana Menteri pun busy, takpalah sekurang-kurangnya beliau baca.

Bagaimanakah Tun melihat sokongan BN dan UMNO kepada Najib?

Tun Daim: Kalau menjadi Presiden, ada kuasa, di hadapan memang mereka sokong. Di belakang kita tidak tahu. UMNO ini caranya memang begitulah. Kalau depan dia taat setia kepada pemimpin tetapi sampai satu ketika apabila panik, mereka mendesak. Itu cara UMNO. Macam Tunku Abdul Rahman, Tun Abdullah Ahmad Badawi, apabila sampai masanya baru mereka ambil tindakan. Mungkin UMNO masih confident tetapi tidak senang hati sebab- sebab keadaan sekarang. Itulah yang kita takut terlambat.

Ada yang beri pandangan apabila ketua-ketua UMNO berkumpul dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri seolah-olah Najib lemah dan memerlukan sokongan?

Tun Daim: Itu satu tafsiran - kalau kita kuat tidak perlu sokongan. Tetapi daripada maklum balas ketua-ketua bahagian ini datang dan diberi taklimat, tidak ada sesi soal jawab. Kita pun tidak tahu apa ada dalam hati mereka, lagipun tidak sampai 160 orang. Lain-lain yang tidak hadir mungkin ada sebab-sebabnya.

Bagaimana Tun melihat hubungan Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Tun Daim: Muhyiddin memang taat setia kepada Najib tetapi baru-baru ini kenyataan mereka memang bercanggah, oleh sebab itu orang membuat 'bacaan' sendiri. Paling ketara tentang 1MDB yang disiasat oleh Jabatan Audit Negara. Kita tidak tahu apa yang berlaku dalam Kabinet, kenyataan Perdana Menteri dikeluarkan daripada pejabatnya. Muhyiddin pula daripada kenyataannya sendiri, jadi ada perbezaan sebab itu orang lihat ada berbeza pendapat. Yang pentingnya kerajaan sudah menyuruh Jabatan Audit menyiasat 1MDB

Saya tidak tahu berapa lama kerana ia pengauditan yang kompleks. Jabatan Audit Negara selalu boleh buat audit semua syarikat-syarikat kerajaan dalam setahun. Kali ini satu syarikat sahaja, patutnya boleh siap dengan cepat tetapi ini complicated sebab berlaku di luar negara. Saksi-saksi mungkin di luar negara, jadi Jabatan Audit perlu fokus completely jika mahu membongkarkan semua apa yang berlaku dalam 1MDB.

Apabila kata aset melebihi hutang, patut ok. Kalau betul syarikat ini ok, kita boleh tubuh lebih banyak syarikat seperti ini tetapi saya ingat bila semua cerita 1MDB keluar sukar untuk pertahankan pinjamannya.

Rakyat mahu tahu mana pergi duit 1MDB. 1MDB tidak boleh beritahu, kerajaan tidak boleh beritahu. Ini bukan duit sedikit RM10, RM20, ini melibatkan RM42 bilion. Kita mahu dengar apa sebenar yang berlaku.

Rakyat mempertikaikan sejauh mana ketelusan Jabatan Audit Negara dalam siasatan itu, sedangkan jabatan itu juga melaporkan kepada Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri juga Menteri Kewangan. Wujud konflik kepercayaan terhadap keputusan siasatan itu?

Tun Daim: Sebab itu dari dulu saya kata, saya pernah menulis surat mencadangkan Perdana Menteri jangan jadi Menteri Kewangan. Kalau ada masalah macam ini bukan salah Perdana Menteri jika beliau bukan Menteri Kewangan. Tetapi saya tidak tahu mengapa Perdana Menteri mahu juga menjadi Menteri Kewangan, Pak Lah pun macam itu juga.

Ia akan wujudkan konflik. Kalau Menteri Kewangan bukan kesilapan, dia juga Perdana Menteri, hendak marah tidak boleh, hendak buang tidak boleh. Kalau Menteri Kewangan orang lain, kita boleh ambil tindakan. Ketua Audit Negara memang membuat audit dan akan menyerahkan kepada Kementerian Kewangan. Semasa saya dulu kita terima sahaja. Dia hendak tulis apa, tulislah dan kita terima.

Kalau kita hendak perbetulkan dari bagi tahu, ini jangan tulis, itu jangan tulis susahlah. Kesilapan yang berlaku kita perbetulkan. Jabatan Audit Negara memang bebas walaupun di bawah Kementerian Kewangan.

Sekarang ini memang susahlah sebab Menteri Kewangan adalah penasihat kepada 1MDB. Ini masalah besar. Saya pun tidak tahu, patut beliau fikir sedalam-dalamnya apa yang baik kepada negara.

Perdana Menteri pun sibuk, banyak masa diperlukan untuk memerintah negara, perlu tahu perkara hal ehwal luar negara. Jadi Menteri Kewangan pula jaga kementerian yang besar, terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan, berkaitan dengan wang pula.

Tun ada idea mengapa 1MDB menyimpan wang pelaburannya dari Pulau Cayman di Singapura?

Tun Daim: Kalau kita hendak simpan duit di luar negara, kita ada Labuan Offshore. Kita boleh simpan dolar di Labuan. Mengapa tidak guna Labuan? Kalau tidak guna Labuan bermakna kita tidak percaya dengan sistem perbankan kita. Kalau Menteri Kewangan tidak percaya, siapa hendak percaya? Konflik terlampau banyak. 1MDB beritahu duit itu untuk dilaburkan termasuk dalam IPP, kalau macam itu mengapa simpan duit di luar? Ini soalan-soalan yang tidak dapat dijawab, kita pun heran mengapa soalan tidak dapat dijawab. Cuba telus.

Sebelum ini kata 1MDB tidak pinjam daripada Ananda Krishna, di Parlimen kata pinjam. Apa ni? Kalau sudah buat silap, jangan bohong. Patut terus terang, kalau buat silap kita mengaku kesilapan. Kena perbetulkan kesilapan, bukan cerita-cerita lain. Bila orang korek cerita, sudah jadi masalah kepada kerajaan sebab terbelit sendiri. Kalau rakyat tidak percaya, ini kacau.

Sila sambung bacaan anda di SINI


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails