Monday, March 16, 2015

Ini realiti hidup1.5 juta pekerja sektor awam tanpa GST..


Satu rumah, 3 keluarga, setiap satunya hidup berhimpit di dalam bilik kecil kerana ketua keluarga tidak mampu menyewa rumah di bandar besar dengan gaji kakitangan awan berpangkat rendah.

Ini realiti dihadapi ramai penjawat awam yang hidup di bandar seperti Kuala Lumpur dan Johor Baru, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs), kumpulan yang mewakili kira-kira 1.5 juta pekerja sektor awam.

Presiden Ceupacs Datuk Azih Muda berkata, keluarga terbabit terdiri daripada pembantu pejabat dan pembantu am iaitu kelompok kakitangan awam yang terendah dan berpangkat Gred 11 (G11). 

Memasuki perkhidmatan awam dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), gaji pokok mereka hanya dalam lingkungan RM805 dan RM820, kata Azih kepada The Malaysian Insider.

Bahkan dengan elaun sara hidup (Cola) sebanyak RM300 dan perumahan RM180, secara kasarnya gaji bersih yang diperoleh mereka hanya sekitar RM1,285 dan RM1,300.

"Gaji mereka hanya cukup menyewa bilik di KL, JB, Shah Alam malah Klang," kata Azih merujuk kepada kadar bayaran sewa sekitar RM600 hingga RM800.

"Bukan saja bandar besar, sesetengah tempat seperti Bintulu (Sarawak) kadar sewa bilik adalah RM500 sebulan," katanya.

Azih berkata, kebiasaannya latar belakang keluarga mereka adalah golongan muda, hanya seorang saja yang menyara dan kebiasaannya suami, ada seorang anak atau tiada, dan berhijrah dari luar bandar.

"Jadi dalam satu rumah teres setingkat dengan 3 bilik tidur, 1 keluarga akan sewa satu katil. Suami, isteri dan anak semuanya bersempit-sempit dalam 1 bilik tidur.

"Apabila saudara mara keluarga A datang melawat dan perlukan ruang lebih besar, keluarga B atau C akan berpindah keluar sementara dan tinggal tempat lain.

"Apabila saudara mara keluarga B pula datang melawat, giliran keluarga A pula keluar," katanya. Terdapat kira 300,000 kakitangan berpangkat G11 seluruh negeri, kata Azih.

Jumlah itu tidak termasuk guru, anggota polis, tentera dan kakitangan kesihatan, mereka adalah golongan majoriti di setiap jabatan kerajaan.

"Ini sebab kami sering mendesak supaya kuota rumah kos rendah dihapuskan bagi penjawat awam. Perumahan tidak boleh hanya diberikan kepada sektor swasta tetapi perlu dijadikan tanggungjawab sosial kerajaan," katanya. 

Ceupacs sebelum ini sering menekankan isu gaji rendah penjawat awam.

November lalu, Azih menyeru gaji kakitangan awam dinaikkan 10% ekoran kenaikan kos sara hidup.

Minggu lalu, beliau turut mendesak kerajaan menilai semula elaun seperti Cola, perumahan, perjalanan dan daerah, supaya setimpal dengan kadar semasa harga barangan.

Azih pada 7 Mac lalu dilaporkan berkata, kerajaan masih belum mengumumkan sama ada mereka akan menyemak semula elaun walaupun perdana menteri membenarkan supaya satu kajian dilakukan.

"Tidak ada gunanya jika kamu ambil masa terlalu lama menyiapkan kajian kerana kos sara hidup semakin meningkat. Kerajaan perlu buat keputusan segera," katanya seperti dilaporkan The Malaysian Insider

... Hmmm.. bagaimana agaknya hidup mereka bila GST dilaksanakan bulan depan?


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails