Monday, March 30, 2015

Siaran langsung persemadian Puteri Diana boleh, persemadian Lee Kuan Yew tak boleh?


Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini mempertahankan liputan secara langsung upacara persemadian bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew oleh Astro Awani, menyifatkan ia mempunyai nilai berita.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, masyarakat tidak perlu melihat upacara itu sebagai satu bentuk penghormatan, sebaliknya sesuatu yang mahu ditonton masyarakat umum. 

“Sebagai satu saluran berita, apabila mereka buat sesuatu pemberitaan, liputan langsung dan sebagainya, ia bukan dilihat dari segi penghormatan tetapi dilihat mempunyai nilai berita.

“Saluran berita ialah saluran yang dapat memaparkan berita yang dikehendaki dan orang ingin tahu. Mereka terpaksa bertanding dengan media sosial. Kalau orang pergi kepada media sosial, mereka juga akan kehilangan penonton yang menghendakinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri Maklumat dan Telekomunikasi Apec ke-10 di Kuala Lumpur.

Astro Awani mendapat kecaman warga media sosial selepas menyiarkan siaran langsung upacara persemadian Lee tengahari semalam.

Menerusi satu status di laman Facebook televisyen berbayar itu yang mempromosikan siaran langsung berkenaan, pengguna media sosial mempersoalkan rasional Astro Awani berbuat demikian. 

“Astro Awani ni milik Malaysia atau milik Singapura,” soal seorang pengguna Facebook yang menggelarkan dirinya "Tuan Direktor".

Zick Ry menerusi laman sama berkata: “Dia ni penting ke dalam negara Malaysia?”

Maruz Sofea pula sinis memerli slogan stesen berita TV itu: “Astro Awani, berita segenap Singapura.”

Selepas 24 jam, lebih 250 komen memberi reaksi positif dan negatif di laman Facebook Astro Awani berhubung liputan siaran langsung itu.

Shabery berkata sentimen dan sensitiviti masyarakat berhubung penyiaran program itu difahaminya dan berjanji akan meneliti perkara berkenaan.

Beliau turut membuat perbandingan peri pentingya penyiaran upacara persemadian Lee oleh Astro Awani itu dengan upacara persemadian Puteri Diana pada 1998.

“Saya ingat dahulu ramai orang mula langgan saluran Mega TV kerana mereka nak CNN yang ketika itu membuat siaran langsung liputan mengenai pengebumian Puteri Diana.

“Oleh kerana CNN melihat ia sesuatu yang mempunyai nilai berita yang ingin ditonton orang ramai, maka itu pertimbangan yang dibuat mana-mana saluran berita,” katanya lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails