Tuesday, March 24, 2015

Hudud: Aisyah Tajuddin mohon maaf akhirnya..


Selepas hampir seminggu berlarutan diselubungi kontroversi akhirnya penyampai radio perniagaan BFM, Aisyah Tajuddin tampil bagi meredakan kemarahan ramai dengan memohon maaf secara terbuka.

Menafikan bahawa beliau ada niat mahu menghina Islam dan Hudud dalam klip video BFM Kupas, katanya,

“Kini saya sedar bahawa ia telah menimbulkan kemarahan. Maka untuk itu, saya benar-benar kesal dan memohon maaf, maaf. ”

Menurutnya, video parodi yang menampilkan dirinya mengupas isu Hudud tidak bertujuan menghina undang-undang tersebut tetapi mempersoalkan keutamaan Kerajaan PAS Kelantan terhadap negeri dan rakyatnya.

“Video tersebut hanya menyangkut perihal politik, perkataan dan perbuatan ahli politik; dan tentunya tidak sekali-kali mengenai agama,” jelasnya yang mengakui sedih dan terganggu dengan ancaman yang diterima daripada siaran video parodinya.

“Setelah beberapa hari yang lalu, sebuah video di mana saya bercakap mengenai pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah 1993 telah menyebabkan kemarahan di dalam laman-laman media sosial,” katanya dalam kenyataan media mewakili syarikat BFM Media Sdn Bhd.

Beliau mengakui, “Sejak video tersebut diterbitkan, pelbagai ancaman bunuh dan rogol telah ditujukan kepada saya, keluarga, teman sekerja dan rakan-rakan. Ia sangat mendukacitakan.”

Sejak video parodinya menjadi viral Aisyah telah mencetuskan kemarahan massa kerana didakwa mempersenda dan menghina Islam dan Hudud sehingga menimbulkan ancaman bunuh dan rogol.

Beliau menjelaskan, liputan meluas media terhadap insiden tersebut mengaburi maksud sebenar yang ingin disampaikan video tersebut, dan menambah,

“Tujuan video tersebut dibuat adalah untuk menggalakkan wacana yang berlangsung seputar isu keadaan sosio-ekonomi rakyat Kelantan.”

“Mengharungi betapa bahayanya ancaman terhadap keselamatan diri ini merupakan pengalaman yang buruk dan bukan ciri-ciri Malaysia yang saya tahu,” katanya lapor Free Malaysia Today



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails