Tuesday, March 17, 2015

Akhirnya Najib dedahkan sebab kerajaan tidak isytihar darurat...


Kerajaan tidak mengisytiharkan darurat ketika banjir besar melibatkan beberapa negeri tahun lepas kerana tidak mahu dipertanggungjawab sepenuhnya terhadap implikasi bencana itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sesi perbahasan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini berkata, kerajaan Pusat dan negeri harus bertanggungjawab membaiki, membaik pulih serta meningkatkan lagi infrastruktur di negeri yang terlibat dengan banjir besar tersebut.

Tambahnya lagi, pengisytiharan darurat hanya akan memberi implikasi kepada syarikat tuntutan insurans.

"Kerajaan tidak mahu isytihar darurat baru-baru ini kerana kerajaan mahu ini (pasca banjir) sebagai tanggungjawab bersama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

"Kerajaan tidak mahu diletakkan dalam situasi bahawa ini tanggungjawab penuh kerajaan Pusat semata-mata" katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani).

Bercakap mengenai usaha kerajaan Pusat dalam pasca banjir, Najib berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM 500 juta untuk membaik pulih negeri terlibat banjir dan menghadapi banjir pada masa akan datang.

"Ini termasuk caruman tambahan seperti baik pulih pusat pemindahan mangsa banjir. Jika pusat pemindahan tersebut sebuah sekolah, kita akan bina asrama dan bilik air tambahan untuk keselesaan mangsa banjir.

"Kita juga akan buat perancangan pemindahan pencawang elektrik ke kawasan yang lebih tinggi demi keselamatan dan kemudahan orang ramai, serta tempat pendaratan helikopter," katanya lagi lapor SinarHarian



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails