Monday, February 9, 2015

'Petanda buruk' buat Anwar...


Pendaftar Mahkamah Persekutuan meminta barisan peguam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyediakan penghujahan berhubung hukuman terhadapnya.

Sementara peguamnya menyifatkannya sebagai perkara biasa, pemerhati antarabangsa yang juga peguam diraja Mark Trowell menyifatkannya sebagai "petanda buruk".

“Perkara itu mencadangkan rayuan pembelaan terhadap sabitan dan hukuman akan ditolak. "Jika begitu, Anwar serta merta akan ditahan," katanya kepada Malaysiakini.

Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan berhubung rayuan terakhir Anwar mengenai kes liwat dan hukuman lima tahun penjara sebelum ini.

Sementara itu, pihak pendakwa pula merayu supaya hukuman lebih berat diberikan.

Malaysiakini difahamkan peguam Anwar diperintah menyediakan penghujahan selepas penghakiman esok.

Seorang peguamnya Sangeet Kaur Deo mengesahkan perkara itu hari ini.

"Ia tidak semestinya petanda buruk kerana memang amalan biasa semua pihak dimaklumkan agar bersedia untuk pendengaran sebarang rayuan," katanya kepada Malaysiakini.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun setelah didapati bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu.

Keputusan itu menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan itu pada 9 Januari 2012.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails