Monday, February 2, 2015

Pemimpin UMNO dakwa 'pilih kroni' punca BN kalah teruk di Selangor..


Sikap Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed yang didakwa 'terlalu berkuasa' menentukan sendiri calon wakil rakyat pada pilihan raya 2013 menjadi kesilapan besar yang tidak boleh dimaafkan oleh ahli-ahli UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, kesilapan Mohd. Zin yang ketika itu menjadi Timbalan Pengarah Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Selangor telah mengagalkan hasrat 'merampas' semula kerajaan negeri.

"Sehingga meletakkan calon, dia (Mohd. Zin) tidak bergantung kepada (bantuan) agensi-agensi seperti yang menjadi amalan biasa. Datuk Mohd. Zin rancang ikut andaian dia dan dia mempengaruhi Presiden. Dia yakin dan cakap kepada Perdana Menteri kita akan menang besar tetapi dalam masa yang sama tidak meletakkan calon yang sebenar," ujarnya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.



Ismail juga mendakwa, Mohd. Zin hanya meletakkan calon-calon kegemarannya yang akan menyokong beliau sekiranya BN menang pilihan raya 2013.

"Dia (Mohd. Zin) tidak berpijak di bumi nyata. (ambil calon) Tidak berdasarkan maklumat agensi dan maklumat sebenar sehingga menjadikan apa yang dibuat Mohd. Zin meleset. Selangor bukan sahaja tidak dapat mengekalkan 20 kerusi seperti sebelum itu tetapi tetapi kecundang lebih banyak bila kerusi tinggal 12 sahaja (di DUN Selangor). Lebih teruk, daripada 12 kerusi itu tidak seorang pun calon wakil rakyat daripada parti komponen BN yang menang.

"Dari parti komponen langsung tidak ada..bermakna apa yang dilakukan mengikut suka hati dia sahaja.

"Kesilapan ini tidak boleh dimaafkan kerana dia memikirkan atas kepentingan diri dia..yang menjadi gadaian Selangor kita kalah, tidak dapat sokongan dan rakyat menjadi kecewa," jelasnya.

Malah Mohd. Zin juga kalah di tempat sendiri walaupun mendakwa mendapat undi majoriti paling tinggi dalam sejarah BN semasa memenangi Parlimen Sepang pada pilihan raya sebelum itu.

Ismail yang juga Pengerusi BN Bahagian Ampang dan Penyelaras Parlimen yang sama mendapati, di tangan Mohd. Zin, kira-kira 70 peratus wakil rakyat ditukar semasa PRU-13 lalu dan seakan-akan mengenepikan terus orang lama yang digemari pengundi.

"Hampir 70 peratus pertukaran dibuat Mohd. Zin, akhirnya apa yang kita (BN dan UMNO Selangor) dapat," ujarnya yang percaya gabungan muka baharu dan lama oleh BN sejak pilihan raya tahun 1955 masih relevan.

Beliau juga menafikan dirinya kecewa kerana tidak dipilih Mohd. Zin kerana pada tahun 2013 dia sudah tidak lagi berhasrat menjadi wakil rakyat.

Sementara itu, sebagai orang lama dalam parti, Ismail mahu Pengerusi BN Selangor sekarang, Datuk Seri Noh Omar tidak mengikuti jejak kesilapan pemimpin terdahulu.

Mengakui Noh menanggung beban berat kerana kesilapan pemimpin lama namun beliau sudah melihat usaha Ahli Parlimen Tanjung Karang itu melakukan perubahan.

"Cuma, dalam banyak hal ramai lihat dia (Noh) keseorangan melawan musuh dan strategi itu perlu ditukar dan wakil rakyat UMNO perlu bersama-sama di belakang Noh. Andaikata kita nak kekalkan Noh, dia kena susun keadaan sebenar.. tidak boleh ketepikan pandangan peringkat bahagian.

"Mereka (pemimpin bahagian) bukan dilantik, mereka dipilih oleh ahli.

"Kedua, Noh mesti kena dengar pandangan daripada akar umbi. Walaupun dia ada ada idea lebih baik jangan buat keputusan tanpa dalil dan sebab," katanya.

Contoh, katanya, jika Noh ada rangka kerja, beliau kena beri penjelasan di peringkat bahagian bukan sekadar memberi arahan.

"Kalau dia dia tidak beri kefahaman garis panduan, pasti akan gagal kerana yang melaksanakan kerja itu mereka di peringkat bawah," katanya.--MalaysiaGazette



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails