Monday, February 16, 2015

Pakatan perlu keluar bayangan Anwar di Permatang Pauh


Satu analisa ringkas yang menarik dan perlu diberikan perhatian oleh seluruh Jentera Keadilan Permatang Pauh.. walaupun ada yang akan marah kepada para penganalisa ini..

Aku tak mahu sentuh isu nama calon lagi buat masa ini, cuma mengenai isu mohon pengampunan dalam laporan ini..

Apa yang perlu kita faham ialah diampunkan kerana memohon pengampunan dan diampunkan walaupun tidak memohon pengampunan..

Apa yang aku difahamkan ialah DS Anwar Ibrahim tidak akan memohon pengampunan kerana memohon pengampunan bermakna Anwar mengaku melakukan kesalahan.

Dan ini adalah perkara yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan macai..

Lagipun pengampunan oleh Agong perlu mendapat nasihat dari Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden UMNO..

Adakah Najib akan menasihatkan Agong supaya mengampunkan Anwar setelah bertahun-tahun dikatakan berusaha membunuh karrier politik Anwar?

Ikon baru mungkin lahir jika anak perempuan kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen Permatang Pauh, namun langkah tersebut berisiko mendedahkan Pakatan Rakyat (PR) kepada tuduhan nepotisme dan tidak membantu membina tunjang gabungan itu yang kehilangan pemimpin utamanya, kata penganalisis. 
Mereka berpendapat, walaupun mana-mana calon daripada parti Anwar, PKR, boleh memenangi kerusi di Pulau Pinang itu dengan mudah, penting juga bagi pembangkang menunjukkan ia sedang berusaha keluar daripada bayangan Anwar untuk bersatu dan membentuk lawan yang kuat bagi Barisan Nasional (BN) memandangkan ketua mereka itu kini di penjara. 
Khabar angin bertiup kencang mengatakan Nurul Nuha, 31, antara yang dipertimbangkan untuk diletak sebagai calon pengganti bapanya yang menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari mengekalkan sabitan kesalahan kes liwatnya. 
Menguatkan lagi khabar angin tersebut, Nurul Nuha baru-baru ini mengetuai kempen 'March to Freedom' dalam usaha ke arah pembebasan bapanya, langkah yang dilihat bertujuan mengetengahkan anak perempuan Anwar itu di atas pentas politik. 
Penganalisis politik, Dr Lim Teck Ghee berkata, PKR akan dilihat sebagai parti yang mengamalkan nepotisme walaupun mereka selama ini berjuang menolak corak politik sedemikian. 
"Ia bukan satu cadangan yang baik kerana menunjukkan wujudnya nepotisme. 
"Beliau (Nurul Nuha) perlu bertanding hanya selepas menunjukkan khidmat dalam politik dan memenuhi syarat sama seperti yang perlu dipenuhi orang lain," katanya. 
Lim yang juga pengarah Pusat Inisiatif Dasar mengakui Nurul Nuha atau mana-mana calon yang diletak PKR tetap akan menang, namun calon tersebut perlu lari daripada dibayangi Anwar dan perlu berdiri atas kemampuannya sendiri. 
"Siapa yang bertanding perlu berdiri atas rekodnya sendiri dan membawa perubahan berdasarkan isu dan permasalahan di Permatang Pauh daripada bergantung kepada populariti Anwar," katanya. 
Lim berkata, melihat kepada keadaan dan politik dalam PR yang tidak seimbang, ditambah dengan kehilangan Anwar yang berdepan hukuman penjara, setiap parti perlu menitikberatkan masa depan parti daripada kepentingan seorang individu. 
"Fokus perlu ke atas parti itu sendiri daripada melihat kepada seseorang individu," katanya. 
Bagaimanapun, Dr James Chin menyifatkan isu nepotisme atau legasi warisan kepimpinan keluarga tidak timbul, bahkan wakil rakyat di Malaysia mempunyai pelbagai latar belakang. 
"Tidak ada syarat kelayakan untuk jadi YB (wakil rakyat) di Malaysia, malah saya kenal 2 wakil rakyat yang hanya bekerja sebagai penjaja. 
"Satu-satunya halangan ialah apabila kamu disabitkan kes jenayah atau bankrap, dan faktor umur. Selain daripada itu, semua orang boleh jadi wakil rakyat," katanya. 
Chin, pengarah Institut Asia Universiti Tasmania, meramal sama ada Nurul Nuha atau mana-mana calon yang diletak PKR pasti akan menang di Permatang Pauh dengan mengambil kira undi simpati kepada Anwar. 
"Beliau (Nurul Nuha) akan tetap menang, tiada masalah. Kempen atau tidak, BN (Barisan Nasional) pasti akan kalah," katanya. 
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata, kerusi Permatang Pauh sememangnya sinonim dengan keluarga Anwar dan sesiapa yang bertanding perlu mendapat lampu hijau daripada ketua pembangkang tersebut. 
"Pengukuran utamanya bukan sama ada calon itu anak Anwar atau sesiapa pun, tetapi siapa yang mampu meneruskan agenda beliau," kata Ibrahim. 
Melihat kepada gambaran yang lebih luas, Ibrahim berkata kerusi Parlimen tersebut memerlukan seorang pemimpin yang mampu menggalas tanggungjawab besar dan menjadi penyatu sesama parti dalam PR sendiri, terutamanya selepas perbalahan dalaman baru-baru ini. 
"Individu yang dilantik perlu boleh beroperasi dan bertugas bukan saja sebagai ahli Parlimen PKR, tapi perlu memperbaiki hubungan antara parti komponen PR. Sebab, sejak kebelakangan ini, hubungan agak tegang. Jadi, ia bukan semata-mata untuk PKR tapi juga PR," katanya. 
Pengganti Anwar mestilah seorang yang mampu menunjukkan kewibawaan mereka di khalayak ramai, kata Ibrahim. 
"PR perlu menunjukkan kewujudan mereka di khalayak ramai untuk memperbaiki imej yang tercalar, terutama selepas pergaduhan dalaman dan sebagainya. 
"Jadi, tugas yang bakal dibawa sesiapa saja yang menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh agak besar, dan (beliau) mesti benar-benar mampu menjadi nakhoda menggalas tanggungjawab itu," katanya. 
Sementara itu, sumber dalaman PKR memberitahu The Malaysian Insider, setakat ini masih belum ada sebarang perbincangan mengenai calon pengganti Anwar sebaliknya mereka akan meneruskan usaha meminta pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong
"Belum ada perbincangan, Anwar masih lagi ahli Parlimen dan usaha untuk meminta pengampunan akan diteruskan," kata sumber, yang juga orang dalam pejabat Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali. 
Nurul Nuha, suri rumah berkelulusan Ijazah Teknologi Seni dan Visual dari Universiti George Mason, Amerika Syarikat, diberikan "tugasan awal" dalam kempen terbaru perjuangan Anwar yang didakwa menjadi mangsa ketidakadilan. 
Sehari selepas Anwar dihantar ke Penjara Sungai Buloh, anak sulung beliau, Nurul Izzah, yang juga naib presiden PKR memperkenalkan adiknya itu pada satu sidang media di kediaman keluarga Anwar di Segambut. 
"Nurul Nuha akan memainkan peranan dalam kempen 'March to Freedom'. Fokus (kami kini) ialah untuk menubuhkan sekretariat (untuk kempen) dan kami akan berurusan dengan beberapa pihak dan personaliti dalam soal ini dan mahu memastikan Nurul Nuha menjadi wajah (bagi kempen)," katanya. 
Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. 
Keputusan itu sekali gus melucutkan kelayakan Anwar sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh yang disandangnya sejak 2008 berikutan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang anggota Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000. 
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bagaimanapun berkata, SPR akan hanya mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik menerima surat rasmi daripada speaker Dewan Rakyat ~ The Malaysian Insider




Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails