Wednesday, February 25, 2015

Kumpulan Anti Demokrasi ugut nak letup kereta IGP..


Sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka Anak Malaysia Anti Demokrasi (Amad) bertindak memuat naik klip video ugutan bunuh terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai desakan untuk beliau meletakkan jawatan.

Video berdurasi 1.27 minit dimuat naik di YouTube, memaparkan tiga individu berpakaian hitam dengan muka seorang daripada mereka ditutupi logo kumpulan sementara dua lagi memakai topeng muka.

Mereka memberikan amaran dalam bahasa Melayu sambil memegang sekeping kertas memaparkan wajah individu yang tidak dapat dikenal pasti.

Seorang daripada ahli kumpulan membaca ugutan yang mempersoalkan adakah Malaysia boleh menggantikan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ketua polis negara dan ketua hakim negara melalui proses demokrasi.

Dengan menjawab tidak, lelaki itu melabelkan kumpulan mereka sebagai anti demokrasi sebelum mengumumkan akan membunuh Khalid dengan cara meletupkan kereta.

"Adakah rakyat Malaysia boleh menukar pengerusi SPR melalui proses demokrasi? Adakah rakyat Malaysia boleh menukar ketua hakim negara melalui proses demokrasi dan adakah rakyat Malaysia boleh menukar ketua polis negara melalui proses demokrasi?

'Tidak, manusia-manusia inilah perosak ejen demokrasi!" kata kumpulan terbabit menerusi video tersebut.

Mereka berkata, tindakan itu akan menyebabkan ketua agensi kerajaan takut melakukan kesalahan menipu demokrasi di mana rakyat Malaysia akan bangkit dengan cara bukan melalui demokrasi.

Di akhir video, kelihatan seorang lagi lelaki bertopeng bangkit membawa kereta mainan di hadapan lelaki dengan muka bertutup dan membakar kereta tersebut dengan pemetik api disusuli bunyi letupan.

Video bertarikh 23 Januari bertajuk "Peringatan kepada IGP " meraih tontonan sebanyak 5,600 pengguna setakat ini.

Semalam, kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melancarkan kempen mendesak peletakan jawatan Khalid kerana tindakannya yang sering menahan ahli politik dan aktivis.

Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 dan Suaram mengadakan sidang media mengutuk tindakan polis yang menahan sesiapa yang mengkritik kerajaan.

Kumpulan terbabit melancarkan protes setiap Sabtu di hadapan pusat beli belah Sogo, di Kuala lumpur sebagai tuntutan kebebasan bersuara dan mendesak peletakan jawatan Khalid lapor The Malaysian Insider

Video berkenaan sila lihat di SINI



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails