Wednesday, February 25, 2015

Kenyataan PMO aibkan Tun Razak kata Kadir Jasin


Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin berkata, kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengenai kekayaan yang diwarisi Datuk Seri Najib Razak merupakan tindakan yang mengaibkan almarhum Tun Abdul Razak.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press itu berkata, PMO tidak sepatutnya bertindak sebegitu rupa, walau untuk menggilap imej perdana menteri.

"Melainkan jika PMO berpatah balik dan menafikan membuat kenyataan kepada (New York Times) mengenai warisan harta itu, ia berdepan dengan tuduhan mencemarkan ingatan pada tokoh besar itu.

"Jentera propaganda PMO boleh lakukan apa saja, malah hingga menggadai etika dan moral untuk melindungi PM dan isteri.

"Bagaimanapun, tindakannya mengaibkan dan menghina ingatan pada Tun Abdul Razak adalah dosa yang tidak boleh ditebus," kata Kadir.

Kadir merujuk kenyataan PMO di akhbar Amerika Syarikat itu bahawa gaya hidup Najib tidak menghairankan "untuk seorang individu dengan kedudukan dan tanggungjawab sebagai perdana menteri dan juga warisan harta pusaka (yang diperolehinya)".

New York Times memetik kenyataan PMO itu dalam laporan mengenai perniagaan Jho Low yang ada hubungan dengan ahli keluarga Najib dan gaya hidup mewah mereka.

Jho Low dilaporkan membantu anak tiri Najib, Riza Aziz untuk membeli kondominium mewah di New York dan membiayai penerbitan filem Hollywood yang diusahakan Riza.

Akhbar itu juga menyebut mengenai beberapa keping gambar isteri perdana menteri Rosmah Mansor dengan pelbagai jenis beg tangan mahal tersebar meluas di media sosial.

Laporan itu juga mendakwa memperolehi salinan invois bernilai berjuta-juta dolar pesanan barangan kemas Rosmah di Hong Kong pada 2008 dan 2009.

Susulan laporan itu, adik beradik Najib mengeluarkan kenyataan yang bimbang dengan spekulasi berhubung warisan kekayaan tinggalan bapa mereka, Tun Razak.

Malaysiakini masih menunggu jawapan daripada PMO berhubung perkembangan ini.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails