Wednesday, February 4, 2015

Kenapa tanah di Cameron Highlands terus diceroboh biarpun semasa penguatkuasaan berjalan?


Meskipun dua operasi pembersihan telah dijalankan bagi membersihkan Peneroka Haram di Cameron Highlands iaitu 'Ops Gading 1' dan 'Ops Gading 2' namun ianya disfatkan sebagai gagal oleh Muhyiddin..

Sebanyak 17 hektar kebun haram digempur dalam Ops Gading fasa satu sebelum ini dan dianggarkan terdapat 7,000 hektar kebun haram di seluruh Cameron Highlands mengikut data Agensi Remote Sensing Malaysia.

'Ops Gading' fasa kedua pula melibatkan kawasan seluas hampir 48 hektar kebun bunga, sayur-sayuran dan buah-buahan dibersihkan di tiga kawasan iaitu di Kampung Raja, Tringkap dan Blue Valley.



Ops Gading fasa dua diketuai oleh Majlis Keselamatan Negara yang digerakkan secara bersepadu membabitkan 532 anggota dari 16 agensi termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan, Rela, pasukan polis dan tentera.

Komander Operasi Bersepadu Cameron Highlands ACP Mohd Shaharuddin Baharom pada 16 Disember tahun lalu dilaporkan berkata Beliau berkata pihaknya akan membersihkan dan merobohkan seluruh kebun-kebun haram di seluruh Cameron Highlands sepanjang pelaksanaan Ops Gading.

Ada dua ayat yang Muhyiddin dilaporkan berkata ini mendedahkan kegagalan penguatkuasaan terhadap Peneroka Haram di Cameron Highlands.

Ayat pertama.. "pencerobohan berlaku semasa proses penguatkuasaan terhadap penceroboh sedang berjalan."

Ayat kedua.. "jika tidak ada satu tindakan tegas dan berkesan diambil, saya tak tahu berapa lama lagi kawasan ini boleh bertahan."

Ayat kedua tu maknanya tindakan itu ada tapi tidak tegas dan berkesan.. kenapa agaknya?.. tentu ada sesuatu yang tak kena tu..

Hangat-hangat tahi ayam saja kot operasi tu?

Laporan berkaitan...


Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam meluahkan rasa dukacita dengan pencerobohan di tanah tinggi Cameron Highlands yang terus berlaku meskipun operasi penguatkuasaan giat dijalankan.

Timbalan Perdana Menteri berkata lebih membimbangkan lagi apabila pihak berkenaan begitu berani sehingga mencabar pihak berkuasa dan jika keadaan ini berterusan beliau tidak pasti sehingga bila keadaan tanah yang masih ada di Cameron Highlands boleh bertahan.

"Saya agak dukacita... walaupun sudah tahu berkenaan pencerobohan ini tetapi apabila melihat secara dekat hampir sebahagian kawasan yang ditutup plastik merupakan kawasan pertanian yang diceroboh dan pencerobohan berlaku semasa proses penguatkuasaan terhadap penceroboh sedang berjalan.

"Sudah dua hari saya berada di sini dan dapat lihat Cameron Highlands sudah parah dan jika tidak ada satu tindakan tegas dan berkesan diambil, saya tak tahu berapa lama lagi kawaasan ini boleh bertahan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan mengejut ke Cameron Highlands untuk melihat perkembangan terkini usaha baik pulih dan pemantauan pihak berkuasa berikutan insiden banjir lumpur dan tanah runtuh di kawasan peranginan itu pada November tahun lepas.

Muhyiddin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands, berkata walaupun lebih 500 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam operasi membersih dan membanteras penerokaan tanah, namun beliau mendapati ia belum memadai.

Ini, katanya, memandangkan akibat daripada aktiviti pencerobohan adalah teruk dan memberi kesan yang membimbangkan kepada alam sekitar.

Beliau bagaimanapun yakin penguatkuasaan yang berkesan boleh dilaksanakan dengan menambah petugas penguatkuasa serta memperbanyakkan alatan yang boleh membantu dalam kerja-kerja penguatkuasaan.

Antara perkara yang boleh dilaksanakan adalah mewujudkan pos-pos kekal di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan pencerobohan dengan meletakkan pegawai penguatkuasa sehingga proses penguatkuasaan dan pembersihan yang sedang dilaksanakan selesai dijalankan, kata timbalan perdana menteri.

Beliau berkata perkara itu akan diputuskan selepas mendapat pandangan daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan kerajaan negeri Pahang pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands akan datang.

Muhyiddin berkata langkah itu bagi memastikan pemantauan lebih ketat dapat dilakukan kerana dikhuatiri pencerobohan boleh berulang walaupun tindakan telah diambil.

Bagi mengelak insiden ancaman terhadap pihak berkuasa terus berlaku, timbalan perdana menteri berkata beliau akan mencadangkan supaya kawasan-kawasan yang sering berlaku kejadian itu diwartakan sebagai kawasan keselamatan.

"Langkah ini perlu diperhalusi seperti keperluan membentuk pasukan khas bagi menjaga kawasan itu daripada dimasuki pihak luar sekali gus boleh menyekat penceroboh daripada memasuki kawasan tumpuan berkenaan," katanya.

Ditanya apakah hasrat mengembalikan Cameron Highlands sebagai kawasan pelancongan unggul dapat dicapai segera, Muhyiddin berkata beliau tidak optimis perkara itu dapat dilakukan sehinggalah kerja-kerja penguatkuasaan menghalang pencerobohan dapat dilakukan sepenuhnya.

Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands pada 5 Nov lepas, mengakibatkan lima kematian dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan, di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet.

Penerokaan tanah secara haram dikatakan antara faktor berlaku banjir dan tanah runtuh di daerah tanah tinggi ini ~ Malaysiakini



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails