Tuesday, February 24, 2015

Keluarga Anwar mohon pengampunan Diraja


Keluarga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon pengampunan Diraja bagi hukuman atas kesalahan kes liwatnya, kata jurucakap PKR hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu The Malaysian Insider inisiatif permohonan tersebut dilakukan kerana Anwar berisiko kehilangan kerusi Permatang Pauh yang disandangnya.

Fahmi berkata inisiatif pengampunan itu dilakukan keluarga Anwar dan bukannya PKR.

The Malaysian Insider difahamkan, permohonan tersebut sudah pun dihantar ke Istana Negara sebentar tadi.

Sementara itu anak sulung kepada Anwar Nurul Izzah memberitahu The Malaysian Insider, petisyen memohon ampun itu sudah selamat dihantar ke Istana Negara. ‎

"Petisyen memohon ampun atas alasan pengetepian prinsip-prinsip keadilan dan pembelaan daripada penganiayaan fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah selamat dihantar ke Istana," kata ahli Parlimen Lembah Pantai dan naib presiden PKR itu.

Tarikh akhir 14-hari bagi Anwar untuk memfailkan permohonan tersebut akan tamat hari ini dan tanpanya, beliau secara automatik akan tersingkir sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.‎

Awal hari ini, peguam Anwar N Surendran berkata ketua pembangkang itu membuat keputusan untuk tidak memohon pengampunan Diraja.

"Kami bertemu dengan Anwar di penjara minggu lepas dan beliau tidak memberi apa-apa arahan untuk memfailkan permohonan itu. Peguamnya juga tidak akan memfailkan permohonan sebegitu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Pada 10 Februari, panel 5 hakim yang diketuai Ketua Hakim Arifin Zakaria mendapati Anwar bersalah melakukan liwat dengan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar didakwa melakukan kesalahan tersebut di unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10pm - 4.30pm pada 26 Jun, 2008.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan kerusi tidak akan diumumkan sebagai kosong sehinggalah Lembaga Pengampunan mempertimbangkannya dan membuat keputusan.

Surendran juga berkata pasukan peguam Anwar akan terus meneliti kehakiman 116-mukasurat itu sebelum membuat keputusan untuk memfailkan semakan semula terhadap penghakiman tersebut.

"Tiada jadual masa untuk memfailkan semakan semula itu, tetapi ia perlu dilakukan secepat mungkin," katanya ~ The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails