Wednesday, February 18, 2015

Bersumpah di Mekah tunjukkan Shafee jahil dalam Islam - ABIM


Kesanggupan bersumpah hatta ke Mekah oleh peguam kanan TS Shafie Abdullah seperti yang dilaporkan oleh media tertentu dan sekiranya benar laporan tersebut adalah amat memalukan. 

Kenyataan sedemikian seperti yang dilaporkan media adalah satu penghinaan terhadap mahkamah. Ia membawa maksud bahawa keputusan hakim itu adalah amat lemah dan tidak mempunyai kredibiliti moral sehingga perlu disokong dengan perbuatan sumpah hingga ke Mekah.

Kesanggupan seperti ini adalah satu perbuatan yang tidak wajar dari seorang peguam kanan seperti beliau. Seluruh rakyat mengetahui bahawa beliau mewakili institusi Peguam Negara dan ulasan seperti ini adalah melampaui batasan fungsi tersebut.

Keadaan ini jauh berbeza daripada sikap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, ketika mengendalikan kes pembunuhan warga Mongolia, mendiang Altantuya Shaaribu.

Mengapa tiada sebarang komen ataupun kenyataan dikeluarkan oleh Peguam Negara apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman bunuh kepada kedua-dua bekas anggota polis yang terbabit dalam kes pembunuhan mendiang Altantunya?

Walhal kes ini berprofil tinggi serta melibatkan imej dan maruah negara di peringkat antarabangsa. Inilah sikap yang sewajarnya diambil oleh seorang Peguam Negara atau sesiapa sahaja yang mewakili beliau.

Selain itu perlakuan ini bertentangan dengan peraturan dengan peraturan 13 Etika Guaman yang jelas melarang seorang peguam mendapatkan laporan atau publisiti daripada apa-apa perkara di mana seorang peguam terdapat secara profesional.

Perlakuan mengulas, adalah satu perbuatan 'over kill' yang biasanya menjurus kepada gerak kerja politik. Kini timbul persoalan samada Tan Sri Shafee Abdullah mahu menjadi ahli politik atau sebahagian dari pemain dalam strategi politik pihak-pihak tertentu?

Langkah memanggil beliau untuk mengulas keputusan mahkamah menunjukkan terdapat masalah keyakinan rakyat terhadap keputusan tersebut. Tidak cukupkah dengan laporan media maka satu program ala 'road show' dianjurkan. Benarkah demikian?

Langkah mengaitkan institusi masjid dan Mekah (mungkin Masjidil Haram yang merupakan masjid utama dalam Islam) adalah satu perbuatan yang tidak dapat diterima oleh umat Islam. Mekah adalah kota suci dalam Islam. Perbuatan ini hanya memperlihatkan kejahilan beliau dalam perihal agama Islam.

Sayidatina A'isyah ketika berhadapan dengan peristiwa 'hadith al-ifk' (fitnah zina terhadap beliau oleh kaum munafiqin) tidak mengambil langkah sedemikian dan juga tiada arahan dari Baginda Rasul s.a.w. Jelas perbuatan sumpah bukan dari ajaran Islam dalam hal-hal yang sebegini. Beliau harus memahami dengan jelas konsep, kaedah dan peranan sumpah dalam Islam. Sayidatina A'isyah adalah individu yang terlibat secara langsung sebagai individu yang difitnah tidak mengambil langkah sedemikian, apatah lagi pihak ketiga yang hanya mendengar dan membaca laporan dan keterangan bukti.

Oleh yang demikian pihak ABIM menyarankan agar beliau belajar dengan lebih mendalam berkaitan perundangan Islam sebelum cuba mengaitkan satu-satu perlakuan dengan agama yang suci ini. Inilah bentuk kejahilan yang boleh mencemarkan imej Islam. Adakah Tan Sri Shafee Abdullah mengetahui kenyataan sedemikian boleh menyebabkan beliau terjerumus dalam kesalahan qazf? Jika terjadi hal yang sedemikian beliau boleh dihukum sebat sebanyak 80 kali sebatan, kesaksian beliau tidak boleh diterima selama-lamanya dan tergolong dalam kelompok orang-orang yang fasiq.

ABIM menyeru seluruh umat agar berhati-hati apabila berhadapan dengan kes yang sebegini dan mengambil sikap seperti yang dianjurkan oleh Islam dalam menjaga maruah dan kehormatan sesama muslimin.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails