Saturday, January 3, 2015

Sudah tiba masanya UMNO singkirkan Najib untuk kekal di Putrajaya kata A Kadir Jasin


Sudah tiba masanya Umno dan Barisan Nasional (BN) memilih antara Datuk Seri Najib Razak dan Putrajaya, kata wartawan veteran, yang kini mengkritik kepimpinan Perdana Menteri itu kerana lebih mementingkan 'diplomasi golf' berbanding rakyat sendiri yang ditimpa bencana banjir.

Datuk A Kadir Jasin berkata, perubahan perlu berlaku atau sedia menghadapi risiko melihat kerajaan pemerintah yang "tunduk kepada zaman silam".

"Seperti kerajaan Romania yang terpaksa memilih antara Caesar dengan Rom, tiba masanya Umno dan BN perlu memilih antara Najib dengan Putrajaya," tulisnya dalam blognya hari ini.




Bekas Ketua Pengarang New Straits Times itu berkata, beliau percaya gelombang perubahan itu semakin membesar seperti kata pepatah "sekali air bah, sekali pantai berubah".

"Umno perlu berbuat sesuatu mengenai presidennya dan perdana menteri jika tidak mahu situasi menjadi lebih buruk. Seperti tebing pasir, ia boleh hanyut begitu sahaja semasa pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Banjir besar mungkin titik perubahan yang kita harapkan, ia mungkin tanda permulaan bagi pengakhiran kepimpinan yang sederhana. Pepatah Melayu lama tentang 'banjir' dan 'pasir' melambangkan makna yang sangat dekat dengan Najib," katanya.

Katanya, kecuali Umno dan BN hilang semua deria sensitif dan tanggungjawab, mereka sepatutnya tahu masa depan tidak lagi menjanjikan sesuatu yang baik.

"Mereka boleh berpura-pura dan meneruskan penafian, tetapi rekod kebelakangan tahun ini menunjukkan prestasi mereka dan janji yang ditaburkan kepada rakyat tidak ditunaikan.

"Maaf saya terpaksa bercakap. Umno dan BN boleh kekalkan PM dan berpura-pura semuanya baik tetapi mereka mesti terima fakta, ada risiko mereka bakal ditendang keluar semasa PRU akan datang," katanya sambil menambah hasrat rakyat yang mahukan perubahan tidak boleh diambil ringan.

Najib baru-baru ini dikecam selepas gambarnya bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di Hawaii menjadi viral ketika rakyat pantai timur menderita akibat banjir.

Beliau kemudian memendekkan percutiannya dan pulang semula ke Malaysia dan mengambil alih tanggungjawab operasi menyelamat banjir.

"Takkan 'diplomasi golf' tak boleh tunggu? Adakah Obama marah jika Najib beritahu beliau tidak boleh datang kerana negaranya sedang menderita banjir besar?" soal Kadir.

Katanya, tiada penjelasan dan usaha daripada jentera propaganda untuk menutup kesilapan Najib semasa berada di Hawaii, dan slogan 'rakyat didahulukan' yang dilaungkan Najib selama ini amat memalukan.

Katanya, peruntukan RM500 juta yang diumumkan Najib selain mempercepatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mungkin dapat meringankan beban rakyat luar bandar tetapi masih gagal meredakan kritikan yang dilemparkan terhadapnya.

Beliau turut menyifatkan seruan Najib meminta semua menteri membatalkan percutian sebagai melucukan, kerana ia membuktikan Kabinet lebih mementingkan percutian mereka berbanding kebajikan rakyat.

"Jelas PM menerima nasihat yang lemah daripada pakar perang sarafnya. Arahannya supaya menteri membatalkan percutian itu tidak sepatutnya dibuat secara terbuka.

"Bunyinya seperti bapa borek anak rintik," katanya.

Mengulas gabungan Pakatan Rakyat, Kadir berkata jika mereka boleh menilai perbezaan, berhenti membuka pekung di dada kepada umum dan tidak bersikap ego, mereka ada peluang cerah mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya akan datang.

"Dalam bahasa mudahnya, PR perlu membetulkan dirinya sendiri dan berharap tidak ada perubahan positif dalam kepimpinan kerajaan dan BN," katanya.

Katanya, zaman kepimpinan yang kuat seperti bapa Najib, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berlalu buat Umno.

Jelasnya, survival pemerintahan parti Melayu bergantung kepada kepimpinan secara kolektif, namun Najib gagal berbuat demikian kerana sejak dari awal beliau menggambarkan dirinya sebagai presiden dan bukannya perdana menteri.

"Beliau membuat perkara yang tidak mendapat pandangan parti dan khidmat awam. Sebaliknya beliau dikelilingi oleh jawatankuasa, penasihat, perunding, dan pegawai khas yang kebanyakannya bukan kakitangan awam tetapi yang mempunyai akses kepada kerahsiaan negeri seperti cara seorang presiden," katanya.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails