Tuesday, January 13, 2015

Punca Ketua Pengarang Harakah dinasihatkan berhenti didedahkan..


Tiada hala tuju dan prestasi yang jatuh merudum antara punca Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman yang sudah sakit sejak sekian lama dinasihatkan berhenti oleh pihak pengurusan akhbar tersebut, kata sumber mendedahkan kemelut dalaman melanda lidah rasmi PAS itu.

Media parti Islam itu dikatakan lemah disebabkan tiada individu yang dapat memberi bimbingan dan memimpin ketika berlakunya pertembungan antara kumpulan pro-ulama dan profesional dalam PAS.

Sumber terdekat kepada pemimpin atasan PAS memberitahu The Malaysian Insider, jualan akhbar tersebut jatuh dan ketiadaan Lutfi yang sering sakit serta jarang berada di pejabat antara faktor mereka terpaksa mengambil keputusan drastik.



"Jualan (akhbar) menurun, ranking Harakahdaily jatuh teruk di bawah Lutfi (Ahmad Lutfi) dan sudah lama beliau tidak masuk bekerja.

"Dalam mana-mana syarikat, untuk mengelak gangguan perniagaan dan membaik pulih perniagaan, syarikat perlu melakukan sesuatu untuk menjaga kepentingan organisasi, bukan kerana mahu menjaga individu tertentu kepentingan organisasi tergadai," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Jualan Harakah yang pernah diedarkan 380,000 satu keluaran di era reformasi dahulu (1998-99), kini hanya teredar di bawah 50,000 naskhah setiap keluaran, iaitu kembali ke zaman awal Harakah diterbitkan dahulu.

Portal Harakahdaily pula yang pernah berada dalam lima media atas talian paling dilawati ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu kini jatuh merudum dan hampir semua media atas talian di Malaysia sudah berada di atas portal rasmi PAS itu.

Kemelut dalaman Harakah meletup selepas kolumnis The Malaysian Insider yang juga abang kepada Lutfi, Dinsman atau Che Shamsudin Othman menulis tentang pemecatan tiga staf mereka, iaitu pengarang Harakah Tarmizi Md Jam, pengarang Rencana Roslan Hamid dan juga Lutfi.

Ketiga-tiga pengarang Harakah itu dikatakan dipecat secara serta-merta kerana menyiarkan artikel yang mengkritik kepimpinan ulama dalam PAS.

Menurut sumber, Roslan yang meletakkan jawatan di Harakah sebelum ini diberikan jawatan kontrak untuk membolehkan beliau bertugas dari rumahnya di Melaka. Beliau tidak disambung kontrak itu tahun lalu selepas Harakah menghadapi masalah.

Tarmizi pula yang bertugas sebagai pengarang Harakah secara kontrak tidak disambung kontraknya tahun lalu selepas terlibat dalam isu pertembungan dalaman PAS.

Dalam kes melibatkan Lutfi, sumber memberitahu ia sudah menjadi lumrah majikan akan dipersalahkan apabila berlaku pemberhentian dalam mana-mana organisasi.

"Pekerja sentiasa dikatakan menjadi mangsa dan menyalahkan majikan walaupun majikan tersebut sedaya-upaya menjaga kebajikan pekerja," kata sumber tersebut yang turut memberitahu Lutfi mula tidak berapa sihat sejak lebih dua tahun lalu.

Lutfi yang ketika ini sedang cuti sakit kerana tidak boleh melihat dengan sempurna termasuk untuk membaca dinasihati supaya meletakkan jawatan sebagai ketua pengarang yang disifatkan sesetengah pihak sebagai tindakan tidak beretika dan zalim.

"Lutfi sudah melakukan bypass (pembedahan jantung), mengidap penyakit kronik diabetes sehingga hilang sebahagian besar penglihatan, tetapi Harakah masih membiayai rawatan perubatan dan mengekalkan beliau serta membayar gaji sejak sekian lama.

"Tetapi sampai bila syarikat akan menanggung semua ini?" kata sumber.

Sementara itu, seorang lagi sumber juga memberitahu pemecatan Lutfi bukan kerana mempunyai niat tertentu seperti yang didakwa, sebaliknya mempersoalkan sejauh mana beliau mampu menyumbang kepada Harakah.

"Lutfi sakit dan sering tidak berada di pejabat, itu kita semua tahu. Beliau sepatutnya mengakui sudah tidak berupaya untuk terus memimpin dan menerajui Harakah," kata sumber tersebut.

Lutfi sebelum ini dikatakan menerima tawaran "pencen ilat" dengan bayaran separuh gaji oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk meletak jawatan sebagai ketua pengarang dan diberikan tugas lain di Harakah, bagaimanapun beliau enggan melepaskan jawatan yang dipegangnya itu.

Sementara itu, seorang wartawan daripada Harakah memberitahu dengan kemelut yang melanda media parti tersebut, perpecahan dalam PAS kepada dua kumpulan memburukkan lagi keadaan.

"Kami wartawan pun pening, sudah dalam parti pun berpecah sekarang ini pula timbul isu dalam Harakah," katanya.

Beliau juga mengakui Harakah ketika ini hilang kepimpinan dan tidak mempunyai individu yang dapat memberi tunjuk ajar kepada wartawan khususnya.

"Wartawan memerlukan mentor dan tunjuk ajar, tetapi dengan ketiadaan tokoh yang berkemampuan dan kemelut dalaman pengurusan memburukkan lagi keadaan," katanya.

Beliau juga memberitahu hari ini (Isnin), satu pertemuan tertutup dengan pihak atasan Harakah bersama semua staf editorial berlangsung.

Difahamkan satu notis kepada semua staf sudah diedarkan untuk menghadiri pertemuan tersebut dan antara perbincangannya adalah mengenai arah tuju organ rasmi parti Islam tersebut.

Mengenai kononnya wujud cubaan kumpulan pro-ulama cuba menguasai organ parti tersebut, sumber menafikan perkara tersebut.

"Jika ini konspirasi ulama seperti didakwa, bagaimana pula lembaga pengarah boleh buat keputusan untuk menggantikan Tuan Ibrahim (Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man) dengan Suhaizan Kaiat (Ketua Pemuda PAS) sebagai penasihat Harakahdaily," kata sumber.

Kemelut dalaman Harakah tersebut menyebabkan Ishak Surin, salah seorang petugas awal lidah rasmi PAS tersebut tampil mempertahankan Lutfi dan membidas kepimpinan PAS, khususnya Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali yang juga pengerusi Harakah.

Ishak yang merupakan Yang Dipertua PAS Batu pada sidang medianya bersama Dinsman mendesak Mustafa meletakkan jawatan.

Naib Yang Dipertua PAS Batu, Tarmizi adalah salah seorang pengarang yang tidak disambung kontraknya sebelum ini.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails