Wednesday, January 21, 2015

PLKN: Dulu Penjarakan Remaja miskin yang gagal hadirinya, sekarang tangguh pula.. Benarkah ianya begitu penting?


Mereka yang tidak menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003 iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mereka juga perlu mengikuti program tersebut walaupun telah dijatuhkan hukuman seperti yang termaktub dalam Seksyen 18(2), akta yang sama.

Dan individu yang pertama menjadi mangsa ialah seorang Remaja yang berasal dari keluarga miskin di Kampung Titi Serong, Kuala Perlis.

Beliau telah dihadapkan ke mahkamah kerana gagal menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), dijatuhi hukuman denda RM600 atau penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret.

Kerana berasal dari sebuah keluarga yang miskin beliau gagal membayar denda tersebut dan memilih untuk dipenjarakan.

Majistret Wan Norzanuar Wan Ahmad memerintahkan hukuman penjara dijalankan berkuat kuasa pada hari hukuman dijatuhkan.

Remaja berkenaan merayu agar hukuman ke atasnya diringankan atas sebab kemiskinan keluarga dan terpaksa membantu ibunya dengan bekerja sendiri.

Tidak ada kaum keluarga termasuk ibunya hadir di mahkamah sewaktu hukuman dijatuhkan ke atasnya.

Remaja tersebut tinggal bersama ibunya yang bertugas sebagai seorang pembantu tadika dan tiga adik beradiknya yang lain setelah ibunya berpisah dengan bapanya.

Ketika menjatuhkan hukuman, Wan Norzanuar memberitahu, hukuman itu dijatuhkan terhadap remaja terbabit selepas mengambil kira beberapa faktor.

Antaranya, kata beliau, penglibatan remaja dalam PLKN dipandang serius oleh kerajaan dan ia merupakan satu isu kepentingan awam yang mampu memupuk semangat cintakan negara.

Sebab-sebab lain, menurutnya, hukuman itu berlandaskan kepada peluang yang telah diberikan oleh kerajaan kepada remaja yang tidak mampu untuk menghadirinya dengan mengemukakan borang pengecualian selain faktor umur remaja terbabit.


Hmm.. ingat lagi tak berita tu.. kalau dah lupa sila baca di SINI

Suatu masa dulu PLKN dipandang serius oleh Kerajaansdan ia merupakan satu isu kepentingan awam yang mampu memupuk semangat cintakan negara..

Tiba-tiba semalam Najib umumkan penangguhannya untuk menjimatkan RM400 Juta..

Jika ianya dipandang serius dan penting hingga seorang remaja yang miskin dihantar kepenjara kerana gagal menghadirinya mengapa ianya perlu ditangguhkan?

Ni persoalan dari Ibu Bapa pula...

Jika PLKN begitu penting mengapa batalkannya?



Keputusan Putrajaya menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama setahun sebagai langkah mengurangkan perbelanjaan menimbulkan persoalan kepada ibu-bapa tentang mengapa ianya diadakan sebelum ini.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Parents in Education (Magpie) Mak Chee Kin berkata, bertahun-tahun kerajaan mempertahankan keperluan program seperti itu untuk memupuk perpaduan, namun apabila negara menghadapi masalah kewangan, PLKN yang pertama dihentikan.

"Sekiranya kerajaan begitu pasti program tersebut penting untuk memupuk perpaduan, mereka patut kekalkannya tidak kira apa yang dialami negara," kata Mak.

"Jika mereka fikir sekarang ia pembaziran wang, jadi kita tidak patut lakukannya dari awal lagi."

Mak berkata, beliau sendiri penyokong program tersebut kerana mendengar pengakuan yang bagus daripada mereka yang menyertainya, kerana mereka mempelajari banyak perkara yang tidak diajarkan di sekolah.

"Bagi kebaikan negara, mereka patut melihat perkara lain yang boleh dipotong. Keputusan mereka semalam terbalik dengan apa yang mereka katakan selama ini, yang PLKN penting untuk rakyat."‎

PLKN diadakan 3 kali setahun bagi pelajar tamat tingkatan 5, dengan 74,000 hingga 80,000 pelajar dimasukkan ke kem di seluruh negara untuk menjalani latihan fizikal dan program yang direka untuk memupuk perpaduan.

Pengerusi Parent Action Group for Education (PAGE) Datin Noor Azimah berkata, kini kerajaan sudah mengambil langkah pertama dalam membekukannya, jadi ia patut menyemak semula kerelevanan program itu.

"Sentiasa terdapat kritikan terhadap program ini. Namun mereka sentiasa semak semula dan mengemaskinikannya. Jadi jika mereka semak dan dapati lebih baik batalkannya, mengapa tidak. Saya tidak rasa ia kerugian yang besar.

"Sebab mengapa PLKN dijalankan adalah untuk mengintegrasikan pelatih, tetapi saya rasa sudah terlambat untuk lakukannya pada umur 18 tahun. Mereka sepatutnya belajar berintegrasi semasa kecil," katanya kepada The Malaysian Insider.

Azimah bersetuju dengan keputusan Putrajaya untuk menangguhkan PLKN untuk setahun, kerana tidak melihat bagaimana ia boleh memanfaatkan negara.

Pengasas Persatuan Parents and Individuals Towards Revising the Education System (Aspires) Shamsuddin Hamid berkata, jika PLKN akan diteruskan, ia perlu lebih telus.

"Satu kebimbangan ialah ia merupakan satu indoktrinasi. Sekurang-kurangnya jadikan ia telus. Dedahkan kepada orang ramai kandungan latihannya dan apa yang diajar pelatih.

"Belia patut ditanamkan sifat positif sepanjang program. Namun jika mereka disuapkan sahaja nilai-nilai tersebut sia-sia sahaja," katanya.

Putrajaya semalam mengumumkan akan menangguhkan PLKN tahun ini sebagai langkah menstabilkan ekonomi berikutan harga minyak mentah yang menurun.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, menangguhkannya akan menjimatkan RM400 juta wang kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, penangguhan tersebut akan memberi kementerian itu dan Kementerian Pertahanan peluang untuk menyemak semula program PLKN untuk memperbaikinya.

Sementara ramai yang memuji PLKN kerana memberi pelajar yang tamat sekolah pengalaman dan latihan baru, terdapat juga banyak kritikan tentang implementasinya, tujuan serta kualiti pelatihnya.

Sejak dijalankan pada 2004, beberapa kes dilaporkan di kem PLKN, termasuklah pergaduhan, kematian dan kes rogol.

Antara kes terbaru termasuk seorang pelatih yang mendakwa dicabul pelatih lelaki di kem PLKN Chukai, Kemaman, Terengganu dan seorang remaja yang dipukul pelatih-pelatih di kem Marang, Terengganu pada 2013.

Pada Disember tahun lepas, seorang pelatih PLKN dilaporkan ditahan kerana penglibatannya dengan aktiviti militan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Datuk Mohamed Asri Yusof berkata semalam yang program itu biasanya merekrut antara 74,000 dan 80,000 pelatih untuk 3 sesi yang dijalankan setiap tahun.

Asri berkata penangguhan itu akan memberi peluang kepada jabatan tersebut menjalankan bengkel untuk memperbaiki kualiti program itu lapor The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails